Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 08 MEI 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pujian kepada Kerajaan Negeri Pahang di atas peningkatan hasil.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang bertitah, Kerajaan Negeri Pahang kini berada dalam landasan yang betul dalam mengutip hasil negeri yang meningkat.
“Saya harus berikan pujian saya kira kerajaan saya sekarang dalam landasan yang betul, hasil negeri meningkat ada pelbagai inisiatif yang baik untuk rakyat.
“Namun masih ada banyak yang boleh ditambah baik. Fokus lebih kepada masalah-masalah yang dihadapi rakyat seperti masalah bekalan air, jalan raya, banjir, peluang pekerjaan, kesesakan lalu lintas, keselamatan, pembangunan belia dan sebagainya.
“Pahang perlu terus bergerak laju ke hadapan. Kita mesti menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dan negara lain juga,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Beginda dalam titah turut menasihatkan pegawai kerajaan dan penjawat awam untuk bergerak pantas dan laju dalam pekerjaan mereka.
“Proses birokrasi dan menyusahakan, buang jauh-jauh. Kepada majikan swasta juga sama, Kerajaan telah sedia itu ini maka pulanglah balik kepada kerajaan dalam bentuk cukai zakat dan CSR.
“Apabila sudah untung lebih, jangan lupa beri semula kepada pekerja. Ada untung lebih, bayarlah gaji pekerja lebih sikit, atau beri bonus yang lebih baik.
“Mereka sudah pastu akan berbelanja, maka usahawan atau yang bekerja sendiri pula dapat merasa manisnya. Hubungan simbiosis semua pihak inilah akan menjadi kunci kepada kemajuan Pahang,” titah baginda. – PAHANGMEDIA