Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 27 NOVEMBER 2026 : Suasana sesi penggulungan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 hari ini bertukar ceria apabila YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail secara spontan menyampaikan pantun bagi membalas pantun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, YB Dato’ Sri Haji Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menerusi pantun berkenaan, beliau secara berseloroh menyentuh hubungan sesama wakil rakyat yang dilihat mesra ketika berada di dalam dewan, namun seolah-olah berbeza apabila berada di luar dewan.
“Pinang muda di dalam dulang,
Sekapu sirih pembuka bicara,
Adat dijaga sebelum meminang,
Merisiklah dulu, hantarlah tanda.
“Pandang atas nampak biru,
Pandang bawah pun nampak biru,
Pandang kanan nampak macam nak bertemu,
Tapi bila pandang kiri nampak keliru,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Beliau turut berseloroh bahawa keadaan itu kadangkala menimbulkan kekeliruan apabila wakil rakyat dilihat bersalaman dan beramah mesra di dalam dewan, namun suasana seolah-olah berubah selepas meninggalkan persidangan.
“Dalam dewan nak berkawan. Tapi di luar dewan macam tak nak berkawan. Hari ini kita salam, peluk-peluk, kejap sahaja keluar, PAS teraju Pahang lah, inilah, itulah,” katanya.
Suasana bertambah menarik apabila ADUN Luit, YB Tuan Mohd Sofian Abdul Jalil mencelah dengan menyampaikan pantun balasan yang membawa mesej agar segala kekusutan dapat dirungkaikan bersama.
“Air laju dari hulu,
Anak udang atas busut,
Kita semua jangan keliru,
Urai-uraikanlah yang kusut,” katanya.
Pertukaran pantun secara spontan itu menceriakan suasana persidangan, sekali gus memperlihatkan keunikan seni pantun sebagai medium menyampaikan teguran, pandangan dan mesej secara bersahaja dalam kalangan wakil rakyat. -PAHANGMEDIA

