Oleh: Syafiqah Jamaluddin
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 27 NOVEMBER 2026 : Keharmonian rumah tangga 60 pasangan suami isteri yang telah mendirikan rumah tangga lebih 10 tahun diraikan sebagai inspirasi kepada generasi muda sempena Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Hajah Sabariah Saidan berkata, inisiatif itu bertujuan menghargai perjalanan kehidupan berkeluarga pasangan berkenaan, selain memupuk nilai kasih sayang dalam membina institusi keluarga yang harmoni.

Menurutnya, antara aktiviti khas yang dirancang termasuk menghasilkan kad ucapan cinta serta berkongsi gambar yang merakamkan detik kebahagiaan sepanjang kehidupan berumah tangga.
“Dalam program ini kita juga menyasarkan 60 pasangan yang telah berkahwin lebih daripada 10 tahun untuk kita mengadakan aktiviti khas untuk mereka.
“Contohnya kad ucapan cinta, dengan gambar-gambar yang menunjukkan kebahagiaan mereka untuk dikongsi bersama yang lain, terutama yang muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur dan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, lebih RM20 juta diperuntukkan menerusi Belanjawan Negeri Pahang bagi pelaksanaan pelbagai program pembangunan wanita, merangkumi penerusan inisiatif sedia ada serta pengenalan beberapa program baharu.

“Alhamdulillah kalau kita tengok tadi bajetnya begitu banyak, juta-juta, semua rakyat daripada segenap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada bajet yang diumumkan oleh kerajaan negeri.
“Dan di mana untuk wanita sahaja, lebih RM20 juta diperuntukkan untuk beberapa program. Contohnya ada yang dikekalkan dan juga ada program baru yang diwujudkan,” katanya.
Peruntukan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkasa agenda pembangunan wanita serta meningkatkan kesejahteraan golongan berkenaan di seluruh Pahang. – PAHANGMEDIA

