Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 27 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Pahang akan terus bertegas menuntut pembayaran tunggakan premium tanah berjumlah RM72.364 juta daripada Felda Global Ventures (FGV) bagi memastikan hak dan kepentingan negeri tidak terjejas.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri telah mengadakan rundingan dengan FGV dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) berhubung tuntutan bayaran premium serta denda premium yang masih belum diselesaikan.
Katanya, tuntutan berkenaan melibatkan premium tanah sebanyak RM72.364 juta dan denda premium berjumlah RM498 juta yang masih belum dibayar kepada Kerajaan Negeri.
“Kerajaan Negeri telah buat rundingan bagi tuntutan bayaran premium dan denda premium dengan pihak FGV dan FELDA. Saya sendiri pun telah berjumpa dengan Menteri Kewangan II dan antara yang kita bincangkan ialah berhubung dengan duit FELDA yang belum bayar lagi kepada Kerajaan Negeri.
“Dan pihak Exco (Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan) pun ada buat keputusan bagi menetapkan kaedah dan jalan penyelesaian termasuk memutuskan tuntutan premium sebanyak RM72.364 juta dibayar terlebih dahulu oleh pihak FGV,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, FGV sebelum ini telah mengemukakan surat kepada Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang bagi memohon lanjutan masa sehingga 30 November ini untuk menyelesaikan tunggakan berkenaan.
Ujarnya, berdasarkan perkembangan terbaharu yang diterima daripada PTG pada pukul 9.30 pagi tadi, FELDA masih belum menerima arahan atau ketetapan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM), manakala perkara itu akan dibentangkan semula dalam mesyuarat Lembaga FELDA pada Januari depan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dalam perkara berkenaan memandangkan FGV sebelum ini telah memberikan komitmen secara bertulis untuk menyelesaikan bayaran pada 30 November ini.
“Saya tahu tindakan saya ini mungkin tidak popular di Kerajaan Persekutuan sebab saya bangkitkan di dalam dewan. Tetapi saya tidak ada pilihan lain sebab secara hitam putih mengatakan pada 30 November nak bayar,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

