Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 27 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Pahang terus mengekalkan disiplin pengurusan kewangan negeri dengan membentangkan belanjawan surplus secara konsisten sejak 2019 hingga 2027, selain berjaya mengurangkan hutang negeri daripada RM3.3 bilion pada 2018 kepada RM825 juta.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pendekatan berbelanja mengikut kemampuan merupakan prinsip utama Kerajaan Negeri bagi memastikan kedudukan kewangan kekal kukuh tanpa membebankan generasi akan datang.
Menurutnya, lebihan hasil berbanding perbelanjaan bukan bermakna Kerajaan Negeri mengetepikan keperluan pembangunan, sebaliknya lebihan itu dijadikan simpanan bagi menghadapi keperluan mendesak dan luar jangka.
“Sejak tahun 2019, Kerajaan Negeri konsisten mengekalkan Belanjawan Surplus sehingga tahun 2027. Hasil negeri melebihi RM1 bilion selama lima tahun berturut-turut sejak tahun 2022.
“Malah, hutang negeri juga berjaya dikurangkan daripada RM3.3 bilion pada tahun 2018 kepada RM825 juta.
“Kalau pendapatan kita RM100, kita mesti berbelanja di bawah daripada RM100. Kita tidak mahu berbelanja melebihi kemampuan sehingga akhirnya membebankan negeri untuk masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Mengulas persoalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, YB Dato’ Sri Haji Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai keperluan menggunakan lebihan kewangan bagi mempercepatkan penyelesaian isu pembangunan termasuk jalan raya dan bekalan air, beliau menjelaskan lebihan berkenaan turut berperanan sebagai simpanan bagi menghadapi keperluan mendesak.
“Surplus ini kita simpan, kalau sekiranya dalam tempoh tertentu ada keperluan yang mendesak, kita boleh guna.
“Banjir sebagai contoh, peruntukan memang sudah disediakan tetapi kalau sekiranya masih tidak cukup, kita masih boleh guna,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan merupakan proses berterusan dan Kerajaan Negeri tidak boleh menunggu sehingga semua pembangunan selesai sebelum menggunakan lebihan kewangan.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, kejayaan mengurangkan hutang negeri daripada RM3.3 bilion kepada RM825 juta membuktikan prinsip pengurusan kewangan yang diamalkan Kerajaan Negeri memberikan hasil positif.
Menurutnya, pendekatan berkenaan mengimbangi keperluan pembangunan semasa dengan kepentingan memastikan kedudukan kewangan negeri kekal mampan dalam jangka panjang. -PAHANGMEDIA

