Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 27 NOVEMBER 2026 : Seramai 100 peserta daripada 63 organisasi menyertai Pahang 1st Talent Development Programme 2026 menerusi Program Pensijilan Train The Trainer (TTT) bagi memperkukuh pembangunan tenaga pengajar industri serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB Tuan Sim Chon Siang berkata, setakat 17 November lalu, empat daripada lima sesi latihan program berkenaan telah selesai dilaksanakan dengan penyertaan 80 peserta.
“Lagi 20 peserta dijadualkan dalam sesi kelima di Kuantan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, YB Dato’ Rodzuan Zaaba pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Katanya, pemilihan majikan yang menyertai program itu dibuat menerusi borang pernyataan minat (EOI) sebelum disaring oleh HRD Corp berdasarkan lokasi operasi syarikat di Pahang serta rekod pembayaran levi tanpa tunggakan.
Tambahnya, setiap kumpulan korporat hanya dibenarkan menghantar maksimum satu syarikat bagi setiap kelas, manakala penyertaan bagi setiap industri dihadkan kepada dua syarikat atau tiga sekiranya diperlukan.
“Agihan sasaran bagi setiap kelas menyediakan 20 tempat untuk peserta daripada 12 majikan. Daripada jumlah itu, 14 tempat diperuntukkan kepada syarikat kecil dan sederhana,” katanya.
Menurutnya, pensijilan profesional TTT bukan sahaja menambah nilai kepada kepakaran sedia ada peserta, malah meningkatkan keupayaan mereka menterjemahkan pengalaman kerja kepada latihan yang lebih berstruktur dan praktikal.
Bagi memastikan kemahiran berkenaan memberi kesan berganda, Kerajaan Negeri boleh mempertimbangkan pelaksanaan projek pemindahan ilmu dalam tempoh tiga hingga enam bulan selepas latihan menerusi pembangunan modul ringkas, latihan dalaman, bimbingan serta bengkel bersama organisasi lain.
Dalam pada itu, katanya, Kerajaan Negeri merancang untuk memperluas liputan program berdasarkan keperluan industri dan daerah, selain memperkukuh kerjasama dengan Pahang Skills, persatuan industri, institusi latihan serta majikan.
Langkah itu bagi membolehkan tenaga pengajar bertauliah berkongsi kepakaran merentas organisasi, khususnya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Selain itu, Kerajaan Negeri turut boleh mempertimbangkan pembentukan rangkaian jurulatih mengikut sektor dan daerah serta kerjasama dengan syarikat peneraju bagi mengenal pasti jurang kemahiran dalam kalangan pembekal tempatan, sekali gus membuka lebih banyak peluang latihan kepada pekerja di sepanjang rantaian bekalan industri. -PAHANGMEDIA

