KUANTAN, 27 NOVEMBER 2026 : Menteri Besar Pahang mengingatkan rakyat negeri ini, khususnya mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir supaya tidak berlengah untuk berpindah sekiranya diarahkan berbuat demikian oleh pihak berkuasa sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, aspek keselamatan diri dan keluarga perlu diberi keutamaan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Sekiranya diarahkan berpindah, saya minta jangan berlengah-lengah. Berpindahlah ke pusat pemindahan sementara yang telah disediakan.
“Kita jangan mengambil mudah soal keselamatan. Harta benda boleh dicari dan diganti, tetapi nyawa tidak ada gantinya. Jangan kerana enggan berpindah, akhirnya keselamatan diri dan keluarga sendiri terancam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di sini hari ini.
Menurut beliau, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah memaklumkan bahawa Monsun Timur Laut bermula sejak 27 Oktober lalu dan dijangka berterusan sehingga Mac 2027.
Katanya, antara tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku pada fasa awal monsun yang berpotensi menyebabkan bencana banjir, khususnya di kawasan rendah dan berhampiran sungai.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan telah membuat persediaan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk menyediakan bekalan makanan dan keperluan asas di pangkalan hadapan serta memastikan pusat pemindahan bersedia untuk digunakan.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya sentiasa mengikuti perkembangan cuaca dan peka terhadap setiap amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa.
“Dalam hal ini, saya berharap semua Ahli-ahli Yang Berhormat, sama ada daripada blok Kerajaan mahupun Pembangkang, dapat memainkan peranan di kawasan masing-masing dengan menyampaikan nasihat kepada penduduk, khususnya mereka yang tinggal di kawasan berisiko supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau turut berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan musim tengkujuh kali ini dapat dihadapi dengan sebaik-baiknya. – PAHANGMEDIA

