Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 26 NOVEMBER 2026 : Sebanyak 13 daripada 19 projek perumahan sakit di Pahang melibatkan 1,497 unit rumah berjaya dipulihkan dan memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) sehingga November tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, baki enam projek yang masih belum diselesaikan melibatkan dua projek di Kuantan, tiga di Jerantut dan satu di Maran, termasuk projek Rumah Pahang FELDA Sungai Retang serta Jengka 11.
Menurut beliau, projek perumahan yang berstatus projek sakit melebihi tempoh enam bulan boleh dikategorikan sebagai projek terbengkalai selepas mendapat kelulusan dan pengesahan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“Selepas tempoh enam bulan berada dalam status ‘Projek Sakit’, projek akan dikategorikan sebagai Projek Terbengkalai setelah mendapatkan kelulusan serta pengesahan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1996,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai projek Rumah Pahang FELDA Sungai Retang, beliau berkata, kelewatan projek melibatkan 104 unit rumah yang memberi kesan kepada 11 pembeli itu berpunca daripada perancangan pelaksanaan yang kurang teliti serta kekangan aliran tunai pihak pemaju.
“Bagi menangani isu kelewatan tersebut, projek ini telah dibawa dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan, Pemantauan dan Pemulihan Projek Sakit dan Terbengkalai sebanyak empat kali bersama pihak pemaju serta agensi teknikal berkaitan dengan penglibatan YB Penasihat Undang-Undang Negeri bagi mengenal pasti punca kelewatan, menyelaras tindakan pemulihan serta memantau kemajuan pelaksanaan projek,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, projek Perumahan Makmur Sri Damai Jaya yang melibatkan 88 unit rumah teres setingkat di atas tanah kerajaan seluas 56.57 ekar turut dikategorikan sebagai projek sakit dan berada dalam pemantauan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Hasil semakan mendapati, kemajuan fizikal projek telah melebihi 80 peratus. Kelewatan ini berpunca daripada keperluan penyediaan kawasan lapang seluas 4.2 ekar sebagai sebahagian daripada syarat pembangunan yang perlu dipatuhi.
“Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) akan terus membantu dalam memudah cara pelaksanaan projek serta mendapatkan maklum balas daripada pihak pemaju dan agensi berkaitan serta membolehkan proses mendapatkan CCC diselesaikan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh pemantauan serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemaju yang gagal memenuhi tanggungjawab mereka bagi memastikan kepentingan pembeli rumah sentiasa dilindungi. – PAHANGMEDIA

