Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 26 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Pahang terus memperkasa golongan wanita menerusi Program Kemahiran Penjanaan Pendapatan (KIRANA) yang membuka lebih banyak peluang kepada mereka untuk menjana pendapatan serta meningkatkan taraf ekonomi secara lebih tersusun.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Hajah Sabariah Saidan berkata, walaupun Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) menerusi Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Pahang tidak menyediakan bantuan kewangan tunai khusus kepada usahawan wanita mikro, usaha memperkasa ekonomi wanita tetap diberi keutamaan melalui program pembangunan keusahawanan yang bersasar.
“Program KIRANA merupakan program pembangunan keusahawanan yang bersasar dan berstruktur, merangkumi pelbagai peringkat perkembangan usahawan, daripada golongan yang baru berjinak-jinak dalam bidang perniagaan sehinggalah kepada usahawan wanita yang telah lama berkecimpung dalam industri masing-masing.
“Program ini dirancang bagi membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada wanita untuk menceburi sektor ekonomi secara aktif, seterusnya meningkatkan taraf hidup serta memperkasa kedudukan mereka dari aspek kewangan dan sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Menurut beliau, usaha memperkasa golongan wanita turut diperkukuh menerusi pelaksanaan pelbagai program yang memberi tumpuan kepada aspek ekonomi, kesejahteraan, kepimpinan dan keselamatan.
Katanya, sebanyak RM270,000 diperuntukkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi pelaksanaan program berkenaan di Pahang pada tahun ini.
“Pada tahun 2026, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah memperuntukkan sejumlah RM270,000 bagi pelaksanaan pelbagai program di bawah domain ekonomi, kesejahteraan, kepimpinan dan keselamatan.
“Sebanyak 130 program telah dilaksanakan melibatkan kira-kira 70,000 peserta di 60 lokasi di seluruh Pahang dengan kerjasama pelbagai agensi negeri.
“Program-program ini memberi manfaat secara langsung kepada golongan remaja, wanita dewasa, ibu tunggal, warga emas dan golongan rentan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri turut menghargai peranan badan bukan kerajaan (NGO) dalam memperkukuh agenda kebajikan dan perlindungan wanita menerusi penganjuran Majlis Apresiasi Sukarelawan Skuad Waja Pahang.
Katanya, program berkenaan bertujuan menzahirkan penghargaan serta mengiktiraf sumbangan NGO yang komited dalam menggerakkan agenda kesukarelawanan Skuad Waja.
“Pengiktirafan ini merupakan manifestasi penghargaan Kerajaan Negeri terhadap peranan strategik NGO sebagai rakan sinergi utama dalam memperkasakan komuniti dan melindungi kebajikan wanita di Pahang.
“Perbelanjaan bagi pelaksanaan program ini adalah sebanyak RM33,172,” katanya. -PAHANGMEDIA

