Oleh: Syafiqah Jamaluddin
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 26 NOVEMBER 2026 : Pahang merekodkan 16.6 juta kedatangan pelancong bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, mencatatkan peningkatan sebanyak 44.73 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus melepasi sasaran kedatangan pelancong bagi 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man berkata, pencapaian membanggakan itu merupakan hasil kerjasama bersepadu Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan dan agensi, pemain industri pelancongan serta komuniti setempat.
“Pelbagai inisiatif dilaksanakan secara bersepadu oleh semua pihak bagi meningkatkan daya tarikan pelancongan negeri, khususnya bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Menurut beliau, bagi memperkukuh sektor pelancongan negeri, sebanyak 35 projek infrastruktur pelancongan dilaksanakan sepanjang tahun ini melibatkan peruntukan keseluruhan RM8.12 juta menerusi tiga sumber pembiayaan.
Daripada jumlah itu, sembilan projek bernilai RM2.05 juta dibiayai Kerajaan Negeri menerusi Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), manakala 16 projek berjumlah RM2.97 juta menggunakan peruntukan Kumpulan Wang Amanah Kelestarian Negeri Pahang.
Sebanyak 10 lagi projek bernilai RM3.1 juta diluluskan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Selain itu, sebanyak RM9.5 juta turut diluluskan menerusi Rolling Plan Kedua (RP2) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi pembangunan infrastruktur pelancongan.
Peruntukan itu merangkumi RM9 juta bagi membaiki struktur jeti pelancongan Kampung Paya, Pulau Tioman dan RM500,000 bagi kerja-kerja awalan projek Esplanade Paya Bakau Sungai Kuantan.
Dalam usaha merancakkan lagi sektor pelancongan negeri, sebanyak RM1.175 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Kelestarian Negeri Pahang diperuntukkan bagi menyokong pelaksanaan 18 acara pelancongan dengan kerjasama PBT dan pejabat daerah sepanjang tahun ini.
Antara acara yang menerima sokongan ialah Bentong Monsoon Marathon, Pesta Menjala di Pulau Wau, Maran, Via Ferrata International Challenge di Jerantut dan Rompin Fest.
Sementara itu, penyertaan Tourism Pahang dalam enam siri ekspo pelancongan domestik berjaya menjana nilai jualan sebanyak RM2.02 juta.
MATTA Fair Pahang mencatatkan nilai jualan tertinggi sebanyak RM632,500, diikuti MATTA Domestic Tourism Fair Kuala Lumpur sebanyak RM547,972.
YB Puan Leong berkata, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM1 juta bagi pelaksanaan kursus, bengkel dan program latihan yang memberi manfaat kepada 2,000 penggiat industri pelancongan di Pahang sepanjang tahun ini.
Dalam aspek perpaduan pula, geran tahunan bagi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) aktif akan dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000 mulai Januari 2027.
Peningkatan geran itu membolehkan KRT memperluas pelaksanaan aktiviti keselamatan, kebajikan, sukan dan kemasyarakatan, sekali gus memperkukuh peranannya dalam memupuk perpaduan serta keharmonian masyarakat di peringkat akar umbi. – PAHANGMEDIA

