Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 26 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang terus mempergiat usaha membangunkan atlet berprestasi tinggi menerusi pelbagai inisiatif bagi melahirkan lebih ramai atlet berkualiti yang mampu menyumbang pingat di pentas antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, usaha berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat di peringkat akar umbi, pengukuhan kejurulatihan, pemberian insentif kemenangan dan bantuan elaun serta pendedahan menerusi penyertaan dalam kejohanan di dalam dan luar negara.
“Kerajaan Negeri Pahang melalui Majlis Sukan Pahang sentiasa memberi penekanan khusus terhadap program pembangunan bakat dan latihan berstruktur bagi melahirkan atlet berkualiti serta berprestasi tinggi.
“Kerjasama turut dijalinkan dengan Jabatan Pendidikan Negeri, pihak berkepentingan dan persatuan sukan bagi melaksanakan program pencarian bakat dalam semua sukan berprestasi tinggi di seluruh Pahang. Ini bagi memastikan atlet akar umbi dan pelapis mendapat peluang mengikuti latihan secara berterusan.
“Majlis Sukan Pahang juga bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang menerusi pelantikan guru sebagai jurulatih sambilan bagi memastikan agenda pencarian dan pembangunan bakat dapat dilaksanakan secara berterusan,” katanya.
Menurut beliau, bakat yang dikenal pasti kemudiannya digilap menerusi bimbingan jurulatih sepenuh masa Majlis Sukan Pahang yang berpengalaman dan berkemahiran.
Kompetensi jurulatih turut dipertingkatkan menerusi kerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), persatuan sukan kebangsaan serta pakar sains sukan.
Dalam aspek kebajikan jurulatih, katanya, Kerajaan Negeri turut menaikkan gaji minimum jurulatih sepenuh masa kepada RM2,200 dengan pelarasan antara RM200 hingga RM1,200 bermula Januari tahun ini.
Tambah beliau, seramai 50 atlet kebangsaan dan pelapis menerima elaun khas antara RM350 hingga RM450 sebulan, manakala enam atlet turut menerima bantuan menerusi Skim Gading Emas sebanyak RM700 sebulan serta bayaran secara sekali bayar (one-off) sebanyak RM1,300 bagi pembelian peralatan.
Bagaimanapun, beliau turut menyuarakan kebimbangan berhubung prestasi sesetengah atlet yang didakwa merosot selepas menjalani latihan di bawah MSN, termasuk atlet sukan menembak.
“Untuk melahirkan atlet bertaraf antarabangsa, kita memerlukan sinergi dan kerjasama yang baik antara Kerajaan Negeri dengan Kementerian Belia dan Sukan, khususnya MSN.
“Kita perlu melihat secara terperinci aspek kejurulatihan supaya potensi atlet yang telah dibangunkan tidak terjejas, sebaliknya terus berkembang untuk mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar, YB Tuan Haji Mohd Yazid Mohd Yunus pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini. -PAHANGMEDIA

