Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang terus memberi perhatian terhadap usaha meningkatkan kemudahan infrastruktur dan keselesaan pengunjung di Taman Eko-Rimba Lata Meraung, Jerantut menerusi pelaksanaan pelbagai projek penyelenggaraan dan naik taraf.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man berkata kerja naik taraf yang dilaksanakan merangkumi pembinaan pintu gerbang masuk, gazebo dan pelantar pejalan kaki, selain menaik taraf wakaf rehat serta membaiki kemudahan sedia ada seperti laluan pejalan kaki, jambatan, tandas dan sistem bekalan air.
Tambah beliau, Majlis Daerah Jerantut turut melaksanakan kerja-kerja pembaikan jalan masuk ke Lata Meraung menggunakan peruntukan yang disalurkan oleh Kementerian Ekonomi.
“Majlis Daerah Jerantut turut melaksanakan kerja-kerja pembaikan jalan masuk ke Lata Meraung menggunakan peruntukan daripada Kementerian Ekonomi bagi meningkatkan kemudahan akses ke kawasan rekreasi tersebut.
“Permohonan yang dikemukakan termasuk membaik pulih pondok kawalan, baik pulih sistem perparitan, baik pulih jalan sedia ada, baik pulih tebing runtuh, menaik taraf laluan perjalan kaki dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, YB Tuan Haji Zuridan Mohd Daud pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri melalui Majlis Daerah Jerantut sedang dalam proses mendapatkan pelabur menerusi kaedah Request for Proposal (RFP) bagi membangunkan kawasan Lembah Kiol secara menyeluruh, termasuk Padang Golf Lembah Kiol.
“Pada masa yang sama, Majlis Daerah Jerantut sedang dalam proses mendapatkan pelabur melalui kaedah Request for Proposal (RFP) bagi tujuan menaik taraf dan membangunkan kawasan Lembah Kiol secara menyeluruh, termasuk Padang Golf Lembah Kiol.
“Usaha ini bertujuan meningkatkan potensi kawasan tersebut sebagai destinasi rekreasi dan pelancongan dengan penglibatan pihak swasta,” katanya. -PAHANGMEDIA

