Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 24 NOVEMBER 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat merasmikan Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) KotaSAS, di sini, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Al-Marhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut mengiringi, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), YBhg. Tan Sri Dr. Shamsul Azri Abu Bakar; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan dan pemimpin setempat.
Perasmian stesen berkenaan menjadi satu lagi mercu tanda penting pembangunan infrastruktur pengangkutan di Pahang apabila kemajuan pembinaan ECRL di negeri ini kini mencapai 99.17 peratus, mengatasi kemajuan keseluruhan jajaran Fasa 1 dari Kota Bharu, Kelantan ke Gombak, Selangor yang mencatatkan 99.03 peratus setakat Oktober lalu.
Pencapaian itu meletakkan Pahang sebagai jajaran paling maju dalam pelaksanaan projek berkenaan dengan keseluruhan laluan sepanjang 258 kilometer di negeri ini kini berada pada fasa akhir pembinaan menjelang pengoperasian komersial yang dijadualkan bermula 12 Disember ini.

Tan Sri Dr. Shamsul Azri dalam persembahan ucapannya berkata, jajaran ECRL di Pahang merangkumi tujuh stesen, sekali gus menjadikan negeri ini memiliki jumlah stesen terbanyak dalam keseluruhan rangkaian projek berkenaan.
Menurutnya, dua stesen iaitu KotaSAS dan Cherating dikhususkan untuk perkhidmatan penumpang, manakala lima lagi stesen iaitu Kuantan Port City (KPC), Paya Besar, Maran, Temerloh dan Bentong menawarkan perkhidmatan penumpang serta kargo.
“Ini menjadikan negeri Pahang sebagai negeri yang mempunyai bilangan stesen terbanyak dalam keseluruhan rangkaian ECRL,” katanya.

Tambahnya, kedudukan strategik Stesen ECRL KotaSAS berhampiran Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) dan Masjid Bandaraya yang dijangka siap sepenuhnya tidak lama lagi akan memperkukuh peranan stesen berkenaan sebagai hab pengangkutan utama di Kuantan.
Stesen ECRL KotaSAS yang dibangunkan di kawasan seluas 15.57 hektar merupakan stesen utama di Pahang dengan reka bentuk seni bina yang diinspirasikan daripada motif Gading Gajah Bersilang pada Jata Negeri Pahang.
Pembangunan berorientasikan transit (TOD) di sekitar Stesen ECRL KotaSAS turut dijangka merancakkan pembangunan kawasan sekitarnya, sekali gus menjadikan stesen berkenaan sebagai pemangkin pertumbuhan bandar dan ekonomi baharu di Kuantan. -PAHANGMEDIA

