Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 23 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang sedang memperkukuh perancangan jaringan pengangkutan awam di tujuh stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi memastikan rakyat menikmati kemudahan perjalanan yang lebih cekap, selamat dan mudah diakses apabila perkhidmatan berkenaan mula beroperasi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, tumpuan utama diberikan kepada usaha menghubungkan stesen ECRL dengan pusat bandar, kawasan perumahan, pusat pekerjaan, terminal pengangkutan serta lokasi tumpuan penduduk.
Menurutnya, perancangan itu turut melibatkan penilaian tahap ketersambungan pengangkutan awam sedia ada di setiap stesen bagi mengenal pasti keperluan penambahbaikan perkhidmatan.
“Antara perkara utama yang dibincangkan adalah penilaian tahap ketersambungan pengangkutan awam sedia ada di setiap stesen ECRL di Pahang serta cadangan penambahbaikan perkhidmatan yang mudah diakses dan selamat bagi menghubungkan stesen berkenaan dengan pusat bandar, kawasan perumahan, pusat pekerjaan, terminal pengangkutan dan lokasi tumpuan penduduk.
“Selain itu, penyediaan maklumat perjalanan dan perkhidmatan pengangkutan awam yang bersepadu bagi memudahkan perancangan perjalanan serta meningkatkan pengalaman pengguna.
“Pemantapan peranan serta kerjasama antara agensi dan penyedia perkhidmatan pengangkutan awam juga diberi perhatian bagi memastikan ketersambungan di stesen-stesen ECRL dapat dilaksanakan secara berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, YB Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan Sharif pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuantan, Bentong, Temerloh dan Maran turut mengadakan sesi libat urus bersama penyedia perkhidmatan pengangkutan awam bagi menyelaras keperluan serta perancangan di peringkat daerah.
Katanya, antara cadangan yang dibincangkan termasuk penyediaan perkhidmatan bas pengantara bagi memudahkan pergerakan penumpang dari stesen ECRL ke destinasi berhampiran.
Selain itu, penyelarasan jadual perkhidmatan bas dengan jadual perjalanan ECRL serta penyediaan ruang menunggu dan hentian pengangkutan awam yang bersesuaian turut diberikan perhatian. -PAHANGMEDIA

