Oleh: Syafiqah Jamaluddin
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 23 NOVEMBER 2026 : Sebanyak 100 unit rumah menerusi Program Residensi Rakyat (PRR) Pulau Manis telah siap dibina dengan harga jualan RM45,000 seunit bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, projek berkenaan merupakan hasil kerjasama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Perumahan Negara (JPN) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menurutnya, daripada keseluruhan 100 unit yang dibina, sebanyak 98 unit disediakan sebagai kediaman biasa, manakala satu unit dikhaskan untuk orang kurang upaya (OKU) dan satu lagi dijadikan taman asuhan kanak-kanak (taska).
“Projek ini telah pun siap dibina dan menyediakan 100 unit yang terdiri daripada 98 unit kediaman biasa, satu unit dikhaskan untuk dijadikan taska dan satu lagi unit disediakan khusus untuk orang kurang upaya (OKU),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, YB Tuan Mohamad Rafiq Khan Ahmad Khan pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Setiap unit kediaman berkeluasan 750 kaki persegi itu dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang keluarga, ruang makan dan dapur, selain kemudahan surau serta dewan untuk kegunaan penduduk.
Menurut beliau, proses penawaran rumah dan penyerahan kunci kepada pembeli dilaksanakan secara berperingkat bermula 30 Disember 2025 hingga 29 September 2026, tertakluk kepada kelulusan pembiayaan daripada institusi kewangan.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan ADUN Pulau Manis mengenai kaedah pemilihan penerima, beliau menjelaskan bahawa setiap permohonan perlu melalui proses penapisan oleh Jawatankuasa Penapisan dan Pemilihan Peserta (JK3P) bagi memastikan hanya pemohon yang memenuhi syarat kelayakan dipertimbangkan.
Katanya, jawatankuasa berkenaan dianggotai wakil Pejabat Daerah, Ahli Dewan Negeri atau pegawai penyelaras serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP).
“Setiap orang yang memerlukan rumah mesti mendaftar menggunakan portal e-Perumahan Pahang. Setelah senarai pemohon disenarai pendek, barulah kita bawa kepada Jawatankuasa Penapisan dan Pemilihan Peserta,” katanya.
Beliau berkata, antara syarat utama kelayakan untuk memiliki kediaman berharga RM45,000 itu ialah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 sebulan.
Tambahnya, senarai pemohon yang memenuhi kriteria kelayakan seterusnya dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan YAB Menteri Besar Pahang untuk pertimbangan dan kelulusan sebelum tawaran pembelian dikemukakan kepada pemohon terpilih. -PAHANGMEDIA

