Oleh : Nur Saadah Artika
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Jemaah haji Pahang bakal menerima sumbangan keseluruhan bernilai RM900 seorang menerusi Program Barakah Haji Pahang apabila Kerajaan Negeri menaikkan bantuan duit poket daripada RM750 kepada RM800, selain menyediakan pek makanan retort bernilai RM100.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak RM2.85 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program berkenaan menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2027 sebagai usaha membantu meringankan keperluan jemaah ketika menunaikan ibadah haji.
Menurut beliau, peningkatan wang poket sebanyak RM50 itu merupakan sebahagian daripada penambahbaikan bantuan yang disediakan Kerajaan Negeri kepada jemaah haji Pahang.
“Sebanyak RM2.85 juta diperuntukkan bagi Program Barakah Haji Pahang dengan setiap jemaah haji menerima sumbangan sekali bayar (one-off) berupa duit poket sebanyak RM800 dan pek makanan retort bernilai RM100,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Kerajaan Negeri turut mengumumkan peningkatan sumbangan sekali bayar bagi perkahwinan kali pertama daripada RM300 kepada RM400.
Menurut beliau, sebanyak RM2.55 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan bantuan berkenaan yang bertujuan membantu pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga buat kali pertama.
“Sumbangan one-off bagi perkahwinan kali pertama dinaikkan daripada 300 ringgit kepada 400 ringgit dengan peruntukan 2.55 juta ringgit,” katanya.
Kedua-dua inisiatif berkenaan merupakan antara penambahbaikan bantuan yang diumumkan menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2027 bagi membantu rakyat dalam memenuhi keperluan penting kehidupan, termasuk menunaikan ibadah haji dan mendirikan rumah tangga. -PAHANGMEDIA

