Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Tiada anak Pahang harus menguburkan cita-cita kerana kekurangan peluang dan tiada kawasan wajar tercicir daripada arus pembangunan negeri, selaras dengan prinsip Pahang 1st yang terus menjadi pegangan Kerajaan Negeri dalam memastikan kemakmuran dinikmati seluruh rakyat.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setiap perancangan dan peruntukan menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2027 perlu diterjemahkan kepada manfaat sebenar yang mampu meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan rakyat tanpa mengira latar belakang atau lokasi.
Menurut beliau, kemajuan sesebuah negeri bukan hanya diukur berdasarkan pembangunan fizikal dan kekuatan ekonomi, sebaliknya turut dinilai melalui perubahan positif yang dapat dibawa kepada kehidupan masyarakat.
“Jangan sampai ada anak Pahang yang terpaksa menguburkan cita-citanya kerana kekurangan peluang. Jangan sampai ada kawasan yang tertinggal hanya kerana jauh dari pusat pembangunan.
“Dari bandar ke desa, dari pesisir pantai hingga ke pedalaman, kemakmuran mesti dirasai bersama. Kerana kemajuan yang sebenar bukan sekadar pada apa yang kita bina, tetapi pada kehidupan yang berjaya kita ubah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup pembentangan Belanjawan Negeri Pahang 2027 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata Kerajaan Negeri mahu memastikan setiap anak Pahang mempunyai peluang yang sewajarnya untuk mendapatkan pendidikan, pekerjaan, menjalankan perniagaan serta merealisasikan cita-cita masing-masing.
Menurut beliau, usaha membangunkan negeri juga memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak, termasuk kerajaan, masyarakat serta generasi muda bagi memastikan kesinambungan kemajuan yang telah dicapai.
Beliau turut menegaskan bahawa perbezaan pandangan dan pendekatan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha bersama untuk meletakkan kepentingan negeri dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan.
“Pahang 1st membawa makna meletakkan negeri dan rakyat di tempat pertama, melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab dan memastikan setiap langkah yang kita ambil membawa manfaat kepada mereka yang kita wakili,” katanya.
Beliau berharap segala usaha dan perancangan yang digariskan menerusi belanjawan berkenaan dapat menjadi asas kepada pembangunan Pahang yang lebih maju, selain membuka lebih banyak peluang kepada rakyat.
Pada masa sama, beliau mahu kemajuan yang dicapai hari ini dapat diteruskan demi menjamin masa depan lebih baik kepada generasi akan datang, selaras dengan aspirasi Pahang 1st yang mengutamakan kepentingan negeri dan rakyat. -PAHANGMEDIA

