Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Belanjawan Negeri Pahang 2027 bukan sekadar dokumen perancangan kewangan, sebaliknya menjadi gagasan bagi mencorakkan masa depan negeri yang lebih makmur, progresif dan sejahtera dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, belanjawan berkenaan menggariskan hala tuju pembangunan negeri yang memerlukan sokongan dan komitmen semua pihak, khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), bagi memastikan setiap perancangan dapat diterjemahkan kepada manfaat sebenar untuk rakyat.
Menurut beliau, kerjasama dan kesatuan dalam kalangan kepimpinan negeri amat penting bagi memastikan agenda pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan Pahang secara berterusan.
Ketika menyampaikan ucapan penutup pembentangan Belanjawan Negeri Pahang 2027, beliau turut mendeklamasikan sebuah sajak yang menggambarkan aspirasi Pahang 1st sebagai pegangan dalam menyatukan tekad, memperkukuh pembangunan serta membina masa depan negeri.
Menerusi sajak berkenaan, beliau menekankan kepentingan perpaduan, amanah dan usaha bersama dalam memastikan kemakmuran negeri terus dipelihara serta dapat diwarisi oleh generasi akan datang.
Beliau turut menegaskan bahawa kemajuan Pahang perlu dibina atas semangat kebersamaan tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat yang menjadi asas kepada setiap perancangan pembangunan.
Sehubungan itu, beliau berharap Belanjawan Negeri Pahang 2027 mendapat sokongan semua ADUN bagi membolehkan pelbagai agenda dan inisiatif yang digariskan dilaksanakan dengan lancar.
Harapan itu disuarakan ketika beliau menyampaikan ucapan penutup pembentangan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Beliau turut menzahirkan hasrat agar segala usaha yang dirancang melalui belanjawan berkenaan menjadi asas kepada sebuah Pahang yang terus berkembang, menawarkan lebih banyak peluang serta menjamin kesejahteraan rakyat pada masa hadapan.
Aspirasi tersebut selaras dengan prinsip Pahang 1st yang menekankan kepentingan negeri dan rakyat dalam setiap langkah pembangunan demi membina masa depan lebih baik untuk generasi akan datang. -PAHANGMEDIA

