Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM4.6 juta menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2027 bagi menghargai sumbangan pengamal media serta memperkasakan bidang seni, kebudayaan dan warisan yang menjadi sebahagian daripada identiti negeri.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM300,000 diperuntukkan sebagai sumbangan kepada pengamal media di Pahang sebagai penghargaan terhadap peranan mereka dalam menyampaikan maklumat dan perkembangan semasa kepada masyarakat.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri turut menyediakan RM300,000 bagi Program Karya Anak Pahang dan Dana Media Kreatif untuk menyokong pembangunan karya serta kreativiti anak tempatan.
“Selain daripada itu, media, seni, kebudayaan dan warisan merupakan sebahagian daripada identiti serta jati diri negeri. Sehubungan itu, RM4.6 juta diperuntukkan bagi menghargai sektor ini.
“Daripada jumlah tersebut, RM300,000 disediakan sebagai sumbangan kepada pengamal media di negeri Pahang, manakala RM300,000 lagi bagi Program Karya Anak Pahang dan Dana Media Kreatif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi penganjuran Fiesta Tun Teja Aspirasi Anak Muda Pahang 1st sebagai usaha memperluas penglibatan generasi muda dalam aktiviti seni, kebudayaan dan warisan tempatan.
“Bagi mengembangkan seni dan warisan tempatan, RM2 juta diperuntukkan bagi Fiesta Tun Teja Aspirasi Anak Muda Pahang 1st dan masing-masing RM1 juta disediakan bagi Festival Bot Pahang 1st dan Program Future Leader Aspirasi Pahang 1st,” katanya.
Menurut beliau, penganjuran program berkenaan merupakan antara usaha Kerajaan Negeri menyediakan ruang kepada generasi muda untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang berkaitan dengan pembangunan bakat, kepimpinan serta pemeliharaan warisan negeri.
Peruntukan itu turut memberi penekanan kepada usaha mengiktiraf peranan pengamal media, menggalakkan penghasilan karya kreatif serta memastikan seni dan warisan tempatan terus diketengahkan kepada masyarakat.
Keseluruhan inisiatif berkenaan merangkumi sokongan kepada sektor media, pembangunan industri kreatif dan penganjuran program yang menggalakkan penyertaan masyarakat, khususnya golongan muda. -PAHANGMEDIA

