Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Farizul Hafiz Awang
PUTRAJAYA, 14 NOVEMBER 2026 : Seramai 1,500 mahasiswa Anak Pahang dari seluruh negara berhimpun bagi menyuarakan pandangan, cadangan dan aspirasi mereka secara langsung kepada kepimpinan Kerajaan Negeri menerusi sesi Townhall bersama YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Sesi berkenaan berlangsung sempena Konvensyen Bakti Negeri Siswa Pahang Apresiasi Pahang 1st 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, beliau teruja dengan sambutan dan semangat yang ditunjukkan mahasiswa, khususnya kesungguhan mereka mengemukakan pandangan serta cadangan berkaitan kebajikan siswa dan pembangunan negeri.
“Tok Wan rasa begitu teruja dengan kehadiran mereka, semangat dan nampaknya mereka juga ada seminar dan mereka telah menyuarakan pandangan daripada mereka.
“Ada yang Tok Wan luluskan serta-merta,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan konvensyen berkenaan.

Menurut beliau, sesi Townhall itu turut dimanfaatkan bagi berkongsi pencapaian dan kejayaan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh kedudukan ekonomi, kewangan serta pembangunan infrastruktur Pahang.
“Tok Wan telah menceritakan kepada anak-anak siswa-siswi tadi kejayaan-kejayaan yang telah Negeri Pahang capai setakat ini, antaranya ialah mengurangkan hutang.
“Pencapaian hasil lebih RM1 bilion lima tahun berturut-turut dan kita juga mengumumkan tadi rantaian pengangkutan Negeri Pahang semakin bertambah baik.
“KDNK kita menduduki tempat keempat selepas Johor, Pulau Pinang dan Selangor,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menitipkan pesanan agar mahasiswa Anak Pahang memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pengajian dan memanfaatkan ilmu serta kemahiran yang diperoleh untuk menyumbang kepada pembangunan negeri pada masa hadapan.
“Tok Wan minta supaya anak-anak siswa-siswi memberi tumpuan kepada pelajaran, fokus kepada pelajaran dan apabila tamat pengajian dapat kembali berkhidmat di Negeri Pahang.
“Walaupun tidak berkhidmat di Negeri Pahang tetapi jangan putus hubungan dengan Negeri Pahang,” katanya.
Beliau turut menyatakan hasrat supaya konvensyen berkenaan dijadikan acara tahunan susulan sambutan menggalakkan, selain berperanan sebagai platform dua hala antara Kerajaan Negeri dengan generasi muda.
“Hasrat saya memang untuk diadakan setiap tahun kerana sambutan yang sangat bagus dan ini satu platform untuk kerajaan berinteraksi dengan anak-anak muda.
“Kerana aspirasi anak-anak muda siswa-siswi ini tidak sama seperti dulu. Keadaannya berubah, kehendak mereka berubah, perasaan mereka berubah, harapan mereka berubah,” katanya.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib; Timbalan Menteri Ekonomi, YB Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah serta ketua-ketua jabatan. -PAHANGMEDIA

