Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 13 NOVEMBER 2026 : Bantuan RM200 menerusi Inisiatif Makmur Pahang (IMP) Kluster B40 bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan, malah menjadi suntikan modal kepada penjaja kecil untuk meneruskan perniagaan demi menjana pendapatan keluarga.
Bagi penerima, Puan Azeatun Haripem, 38, dari Jaya Gading, bantuan itu amat bermakna apabila beliau merancang untuk kembali berniaga selepas berehat sementara waktu susulan kelahiran anak.

“Alhamdulillah, bantuan ini dapat dijadikan sedikit modal untuk saya memulakan semula perniagaan. Sekarang saya perlu mencari pendapatan untuk diri sendiri dan anak-anak.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana sentiasa membantu rakyat, khususnya peniaga kecil seperti kami. Saya berharap lebih banyak bantuan seumpama ini dapat diteruskan bagi membantu perniagaan kecil,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Penyampaian Inisiatif Makmur Pahang Tahun 2026 Kluster B40: Bantuan One-Off Kepada Penjaja B40 Sedia Ada Negeri Pahang di Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), di sini, hari ini.
Azeatun yang mengusahakan perniagaan vendor makanan di Sri Damai dengan menawarkan jualan pada harga RM3 hingga RM5 berkata, bantuan berkenaan merupakan kali pertama diterimanya dan amat membantu dalam usaha membina semula sumber pendapatan.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Haji Mat Daud Salleh, 70, yang mengusahakan perniagaan daging lembu segar di sekitar Kuantan sejak lebih 20 tahun lalu menyifatkan bantuan berkenaan sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap golongan penjaja kecil.

“Terima kasih kepada YB kerana memilih saya sebagai penerima bantuan B40.
“Bantuan seperti ini memang sangat baik dan saya berharap program seumpama ini dapat diteruskan supaya kami masih berpeluang menerimanya pada tahun hadapan,” katanya.
Beliau menjalankan perniagaan daging lembu segar di beberapa pasar pagi sekitar kawasan Majlis Bandaraya Kuantan, termasuk di Jaya Gading, selain berniaga di UTC pada setiap Ahad.
Kedua-dua penerima berharap bantuan seumpama itu dapat diteruskan bagi membantu penjaja kecil mendepani cabaran kos sara hidup, selain memberi sokongan kepada mereka untuk mengekalkan kelangsungan perniagaan sebagai sumber pendapatan keluarga. -PAHANGMEDIA

