Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 08 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang buat julung kalinya menganjurkan Program Anggun Suri khas buat warga tentera bagi menghargai pengorbanan anggota keselamatan negara untuk memulakan kehidupan berumah tangga.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penganjuran khas itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memastikan anggota tentera dan keluarga mereka turut menikmati manfaat serta perhatian kerajaan.
Menurut beliau, program yang memasuki tahun ketiga penganjurannya itu merupakan usaha dalam mempermudahkan urusan perkahwinan, khususnya bagi pasangan muda yang berdepan kekangan kewangan berikutan peningkatan kos sara hidup.

“Ini merupakan satu usaha untuk memastikan manfaat program Kerajaan Negeri dapat dinikmati oleh lebih ramai golongan masyarakat, termasuk anggota tentera dan keluarga mereka.
“Kita mahu anggota tentera dan keluarga mereka turut merasai perhatian serta keprihatinan Kerajaan Negeri kerana di sebalik kekuatan seorang anggota tentera, ada keluarga yang sentiasa menjadi sumber semangat dan sokongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Anggun Suri 2026 bagi Kem Tentera Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, hari ini.

Bagi penganjuran tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta untuk meraikan keseluruhan 150 pasangan pengantin dengan menyediakan kemudahan termasuk dewan, pelamin, makan beradab, jamuan, persembahan, serta buah tangan kepada tetamu.
Beliau berkata, semua kos penganjuran ditanggung Kerajaan Negeri bagi membolehkan pasangan pengantin melangsungkan perkahwinan tanpa terbeban dengan perbelanjaan majlis.
Selain itu, setiap pasangan yang berkahwin buat kali pertama turut menerima insentif perkahwinan sebanyak RM300 menerusi Inisiatif Makmur Pahang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga tentera atas pengorbanan dan khidmat bakti dalam menjaga keselamatan serta kedaulatan negara, selain mengingatkan kepentingan sokongan keluarga dalam membantu anggota menjalankan tanggungjawab. -PAHANGMEDIA

