Oleh : Ain Nadhirah Basha
PEKAN, 4 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM20,000 bagi memenuhi keperluan peralatan dan kemudahan di Klinik Kesihatan Chini, sekali gus meningkatkan keselesaan serta keselamatan pesakit yang mendapatkan rawatan di fasiliti berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk mendapatkan beberapa peralatan penting termasuk troli pengangkutan pesakit (patient transport trolley), video laringoskop, pendingin hawa dan kipas angin berdiri.
“Kesemua peruntukan RM20,000 daripada Kerajaan Negeri ini saya luluskan untuk klinik kesihatan ini, termasuk pembelian satu unit troli pengangkutan pesakit yang berharga RM10,000 serta satu unit video laringoskop bagi tujuan intubasi ketika kecemasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Chini bagi meninjau kemudahan sedia ada serta mendengar taklimat daripada doktor bertugas berhubung isu dan keperluan fasiliti berkenaan.

Antara perkara yang diberi perhatian ialah ruang menunggu pesakit yang agak terhad sehingga menyebabkan sebahagian pesakit terpaksa berdiri apabila jumlah kehadiran mencecah 50 orang pada satu-satu masa.
Sehubungan itu, beliau berharap Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dapat meneliti keperluan berkenaan, termasuk cadangan memperluaskan ruang menunggu bagi memberikan keselesaan kepada pesakit dan pengunjung.
Selain itu, beliau turut mencadangkan penyediaan rumah penginapan sementara bagi memenuhi keperluan penduduk Orang Asli yang mendapatkan perkhidmatan di klinik berkenaan.
Katanya, kemudahan itu amat penting terutama ketika musim tengkujuh dan banjir apabila terdapat penduduk yang terpaksa bermalam di klinik, termasuk bagi kes ibu yang hendak bersalin serta pesakit yang memerlukan rawatan susulan.
Dalam pada itu, proses penyaluran peruntukan RM20,000 berkenaan dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu selepas pihak klinik mengemukakan senarai keperluan dan dokumen berkaitan kepada Pejabat Kesihatan Daerah untuk semakan sebelum dikemukakan kepada Pejabat Kewangan Negeri.
Beliau berharap peruntukan berkenaan dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh pihak pengurusan klinik bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat setempat. -PAHANGMEDIA

