Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 28 OKTOBER 2026 : Seramai 831 pelajar Tingkatan Enam dari empat daerah di Pahang menyertai Seminar Aspirasi Pahang 1st Tingkatan Enam bagi memperkukuh potensi kepimpinan generasi muda sebagai penggerak pembangunan negeri.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Lepar, YBrs. Encik Mustaqim Zakaria berkata, seminar berkenaan bukan sahaja memberi pendedahan berkaitan persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), malah turut menyediakan ruang kepada pelajar untuk mengembangkan potensi kepimpinan.

“Banyak perkongsian diberikan, terutamanya berkaitan persediaan menghadapi peperiksaan STPM. Dalam masa sama, seminar ini turut memberi nilai tambah kepada pelajar, khususnya dari segi kepimpinan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan seminar berkenaan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan, di sini, hari ini.
YBrs. Encik Mustaqim yang mewakili Timbalan Menteri Ekonomi, YB Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah berkata, penganjuran seminar itu merupakan antara usaha berterusan Aspirasi Pahang 1st yang memberi tumpuan kepada pembangunan potensi pelajar, khususnya mereka yang bakal menduduki peperiksaan STPM.

“Seminar ini merupakan antara program yang telah lama dilaksanakan di bawah Aspirasi Pahang 1st, dengan memberi fokus kepada pelajar Tingkatan Enam yang bakal menduduki STPM,” katanya.
Beliau berharap pendedahan yang diberikan dapat membantu pelajar mencapai kecemerlangan akademik, selain mempersiapkan diri untuk memikul tanggungjawab kepimpinan pada masa hadapan.
“Harapan saya, semoga anak-anak kita bukan sahaja bersedia menghadapi STPM, malah turut bersedia untuk memimpin dan menjadi antara penggerak pembangunan di Pahang,” katanya.
Beliau berkata, usaha itu selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam membangunkan potensi generasi muda demi kemajuan negeri. -PAHANGMEDIA

