KUANTAN, 12 OKTOBER 2026 : Rakyat Pahang dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga susulan keadaan jerebu yang melanda, khususnya di daerah Rompin dan Kuantan.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau mengambil maklum keputusan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang untuk menutup sementara institusi pendidikan di kedua-dua daerah berkenaan mulai 13 Oktober 2026 susulan keadaan jerebu dan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU).
Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid, guru serta seluruh warga pendidikan sentiasa terpelihara.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah, mematuhi nasihat pihak berkuasa, mengelakkan pembakaran terbuka serta memakai pelitup muka ketika berada di luar rumah.
“Golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan perlu diberikan perhatian khusus,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa, majikan dan penganjur program supaya mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan pendedahan kepada udara tidak sihat.
Orang ramai yang mengalami gejala membimbangkan juga diminta segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pahang akan terus memantau perkembangan semasa bersama agensi berkaitan bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil demi kepentingan rakyat.
Beliau turut berharap keadaan jerebu berkenaan segera pulih serta seluruh rakyat Pahang sentiasa dilindungi Allah SWT dan dikurniakan kesihatan yang baik serta kesejahteraan. – PAHANGMEDIA

