Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 12 OKTOBER 2026 : Semua institusi pendidikan di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang di daerah Rompin dan Kuantan ditutup sementara mulai esok, 13 Oktober, susulan keadaan jerebu dan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di kedua-dua daerah berkenaan.
JPN Pahang dalam satu kenyataan media memaklumkan penutupan tersebut berkuat kuasa sehingga keadaan kembali selamat dan arahan selanjutnya dikeluarkan.
Menurut kenyataan tersebut, sepanjang tempoh penutupan, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan menggunakan kaedah bersesuaian dengan mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru.
Semua institusi pendidikan terlibat juga diminta untuk memantau perkembangan bacaan IPU secara berterusan serta mematuhi arahan dan garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Alam Sekitar dan Kementerian Kesihatan Malaysia dari semasa ke semasa.
Kenyataan berkenaan berkata, pembukaan semula institusi pendidikan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi JPN Pahang apabila keadaan dan bacaan IPU kembali ke tahap yang membolehkan operasi dijalankan dengan selamat.
Pihak institusi pendidikan turut diminta untuk mengawal aktiviti yang boleh mendedahkan murid dan warga pendidikan kepada udara tidak sihat serta mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi keselamatan dan kesihatan mereka.
JPN Pahang turut menegaskan bahawa keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid, guru serta seluruh warga pendidikan menjadi keutamaan, dengan pemantauan berterusan dilaksanakan bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Rompin, PPD Kuantan dan agensi berkaitan bagi memastikan tindakan yang diambil bersesuaian dengan perkembangan semasa. -PAHANGMEDIA

