Oleh : Nur Saadah Artika
KUALA LUMPUR, 12 OKTOBER 2026 : Kerjasama strategik antara Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan TGA Solutions Sdn. Bhd. (TGAS) dijangka mempergiat usaha menarik pelaburan ke Kawasan Perindustrian Tanjung Agas (KPTA), Pekan, sekali gus memperkukuh kedudukan Pahang sebagai destinasi pelaburan berpotensi tinggi.
Kerjasama itu dimeterai menerusi Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang disaksikan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, di Kuala Lumpur, hari ini.
YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, kerjasama menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) itu merupakan langkah strategik untuk memperluas peluang pelaburan sekali gus memperkukuh kedudukan Pahang sebagai destinasi pelaburan berpotensi tinggi.
“Kerjasama strategik ini bertujuan mempergiat usaha menarik pelaburan ke Kawasan Perindustrian Tanjung Agas (KPTA), Pekan, sekali gus memperkukuh kedudukan Pahang sebagai destinasi pelaburan yang berpotensi tinggi,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama itu turut memberi tumpuan kepada usaha menarik industri berimpak tinggi serta meneroka pembangunan hab pusat data bersepadu dan ekonomi digital yang berpotensi merancakkan pertumbuhan industri sokongan dan rantaian nilai tempatan.
“Melalui promosi bersama, pengenalpastian pelabur dan rakan strategik serta pemudahcaraan projek berpotensi, KPTA berpeluang menarik lebih banyak industri berimpak tinggi, khususnya dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan.
“Inisiatif ini berpotensi mewujudkan ekosistem digital yang merangkumi telekomunikasi, tenaga, pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI) dan perkhidmatan kejuruteraan, selain merancakkan pertumbuhan industri sokongan serta rantaian nilai tempatan,” katanya.
Beliau berkata, usaha berkenaan diharap dapat menarik lebih banyak pelaburan berkualiti yang bukan sahaja merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri, malah memberi manfaat secara langsung kepada rakyat melalui pewujudan peluang pekerjaan.
“Usaha ini diharap dapat membuka peluang ekonomi baharu, menarik pelaburan berkualiti dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER Negeri Pahang bagi menyelaras pelaksanaan inisiatif pembangunan di bawah ECER supaya setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan semua pihak dan memastikan setiap peluang pelaburan dimanfaatkan sebaiknya demi memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta menjamin kemakmuran negeri Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

