Oleh : Nur Saadah Artika
KUANTAN, 12 OKTOBER 2026 : Program Arteka Lanternia 2026 bukan sekadar platform meraikan kepelbagaian budaya, malah menjadi wadah memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum menerusi aktiviti kebajikan dan semangat saling membantu tanpa mengira latar belakang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, penganjuran program seumpama itu memainkan peranan penting dalam memupuk keharmonian serta mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.
“Walaupun berbeza agama dan budaya, ia tidak menghalang kita daripada saling membantu dan menyumbang.

“Saya berharap semangat seperti ini dapat terus dipupuk sampai bila-bila,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutup Arteka Lanternia 2026 anjuran UCYP di Hotel Grand DarulMakmur, di sini, malam tadi.
Menurut beliau, komitmen penganjur dalam melaksanakan pelbagai aktiviti kebajikan, termasuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40) dan anak yatim, turut menjadi antara faktor yang mendorong beliau memberikan sokongan kepada program berkenaan.
“Saya tidak jemu hadir program ini kerana mereka buat banyak kebajikan. Mereka membantu orang yang susah, golongan B40, anak yatim dan sebagainya. Kita berilah sokongan yang sebaik-baiknya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada UCYP atas kejayaan melatih 48 pelajar yang menamatkan pengajian di China, bagi memenuhi keperluan tenaga kerja untuk operasi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Baru-baru ini, UCYP telah berjaya melatih 48 orang pelajar untuk bekerja di Malaysia Rail Link sempena pelancaran kereta api ECRL, dan mereka telah berjaya menamatkan pengajian di negara China,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri berharap peluang pekerjaan yang diwujudkan menerusi pembangunan ECRL dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak tempatan, khususnya bagi mengisi keperluan tenaga kerja di stesen-stesen sepanjang laluan berkenaan di Pahang.
“Inilah yang kita nak sebenarnya, semua pekerjaan yang melibatkan tujuh stesen ECRL di Pahang diisi oleh anak-anak tempatan, anak-anak Pahang.
“Kalau dicampur dengan Pahang Skills, saya difahamkan 209 pelajar telah menamatkan pengajian dan mereka semua ini akan diserap masuk oleh Malaysia Rail Link untuk bekerja di stesen-stesen ECRL,” katanya. -PAHANGMEDIA

