Oleh : Syafiqah Jamaluddin
KUANTAN, 08 OKTOBER 2026 : Seramai 20 peserta berjaya melangkah ke peringkat seterusnya Ikon Aspirasi Pahang 1st selepas sesi ujibakat program berkenaan yang diadakan baru-baru ini.
Menurut kenyataan media penganjur, sesi ujibakat itu menyaksikan penyertaan daripada pelbagai latar belakang yang tampil berani mengetengahkan bakat, personaliti dan potensi masing-masing dalam usaha mengangkat aspirasi anak Pahang.
Antara peserta yang mengambil bahagian terdiri daripada pelajar, suri rumah, usahawan, pekerja swasta serta golongan profesional yang masing-masing membawa pengalaman, kepakaran dan kisah tersendiri.
Kepelbagaian latar belakang peserta membuktikan program berkenaan menyediakan ruang terbuka kepada anak-anak Pahang untuk menampilkan keunikan dan potensi diri sebagai calon ikon yang mampu memberi inspirasi kepada masyarakat.

Proses penilaian pula dilaksanakan oleh barisan juri profesional terdiri daripada Nasha Aziz, Dr Azu Shahadan yang merupakan pakar motivasi dan usahawan serta Dato’ Emma Ibrahim, Mrs Malaysia 2025.
Penilaian merangkumi beberapa aspek termasuk kemampuan menghasilkan kandungan digital, karisma, personaliti, keyakinan diri, keunikan serta kebolehan peserta membawa diri.
Hasil saringan dan penilaian berkenaan, 20 peserta terbaik dipilih untuk meneruskan perjalanan sebagai Top 20 Ikon Aspirasi Pahang 1st.
Pemilihan peserta bukan sekadar berdasarkan bakat, sebaliknya turut mengambil kira potensi dan kemampuan mereka untuk menjadi individu yang mampu membawa pengaruh positif serta memberi inspirasi kepada masyarakat.

Ikon Aspirasi Pahang 1st membawa aspirasi menghubungkan Talent, Community dan Opportunity, sekali gus menyediakan platform kepada anak-anak Pahang untuk memperkenalkan bakat, kepakaran serta kisah mereka kepada masyarakat.
Top 20 peserta seterusnya akan melalui beberapa peringkat penilaian sebelum keputusan akhir dibuat bagi menentukan Ikon Aspirasi Pahang 1st.
Perjalanan peserta turut akan diketengahkan menerusi platform digital dan kandungan media bagi membolehkan masyarakat mengenali dengan lebih dekat bakat, personaliti serta kisah di sebalik setiap calon.
Program itu diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak Pahang untuk mengetengahkan bakat dan potensi masing-masing, selain membina keyakinan untuk tampil sebagai individu yang mampu memberi inspirasi dan manfaat kepada masyarakat. -PAHANGMEDIA

