KUANTAN, 7 OKTOBER 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menyeru seluruh rakyat Pahang dan Malaysia amnya agar bersama-sama berdoa dan memohon ke hadrat Allah SWT supaya diturunkan hujan bagi membantu meredakan keadaan jerebu yang melanda ketika ini.
Kebawah Duli Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar masyarakat serta pihak syarikat perladangan di Kalimantan, Indonesia, diberikan kesedaran dan dibukakan hati untuk menghentikan segala aktiviti pembakaran secara terbuka yang boleh menyumbang kepada pencemaran udara dan menjejaskan kesihatan serta kesejahteraan masyarakat di rantau ini.
Paduka Baginda bertitah, usaha menangani jerebu memerlukan kerjasama semua pihak, selain ikhtiar berterusan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat sentiasa terpelihara.
Sehubungan itu, Paduka Baginda menyeru rakyat agar terus berdoa kepada Allah SWT, di samping mengamalkan langkah-langkah sewajarnya bagi menghadapi keadaan jerebu yang berlaku.
Paduka Baginda turut berharap agar keadaan cuaca kembali pulih dan hujan yang membawa rahmat dapat turun dalam masa terdekat, sekali gus membantu membersihkan udara serta mengurangkan kesan jerebu yang sedang dialami. – PAHANGMEDIA

