Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
BENTONG, 07 OKTOBER 2026 : Selepas bertahun-tahun menyewa, impian memiliki rumah sendiri akhirnya menjadi kenyataan buat penerima Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang, apabila kunci kediaman mampu milik diserahkan hari ini.
Bagi pesara tentera, Muhammad Razmi Abdul Rahim, 53, dari Kampung Chamang, penyerahan kunci tersebut disifatkan sebagai satu nikmat besar selepas sekian lama menanti untuk memiliki kediaman sendiri pada harga yang benar-benar mampu milik.
“Saya bersyukur dapat kunci rumah ini. Harga RM157,000 memang memuaskan dan mampu untuk rakyat seperti kami, khususnya golongan B40.
“Jauh beza dengan harga rumah di luar. Kawasan ini pula memang untuk bumiputera. Dengan keluasan rumah dan tanah yang ada, saya sangat bersyukur dengan harga RM157,000.
“Bukan sekadar memadai, malah memang memuaskan kerana rumah dengan harga seperti ini memang susah hendak jumpa di luar,” katanya.
Menurutnya, kediaman berkenaan turut memberikan keselesaan kepada keluarganya kerana dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air serta ruang tamu yang luas, selain mempunyai ruang untuk penambahan pada masa akan datang.
Katanya, isteri dan lima anaknya turut teruja melihat kediaman berkenaan selepas sebelum ini hanya menyaksikan proses pembinaannya dari awal.

Sementara itu, Muhammad Harmin Ramli, 47, dari Kampung Chamang menyifatkan penerimaan kunci rumah pertamanya sebagai satu detik membanggakan buat dirinya dan keluarga.
“Perasaan saya memang bangga sebab dapat kunci rumah pertama. Harga rumah di Pahang ini bagi saya memang berbaloi dengan RM150,000.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana menyediakan rumah pada harga RM150,000 yang sangat berbaloi.
“Anak-anak pun teruja dan tanya bila hendak duduk. Saya beritahu mungkin bulan Disember, ketika cuti sekolah nanti kita akan duduk di rumah baharu,” katanya yang mempunyai lima anak.
Penyerahan gimik kunci rumah PR1MA Pahang Kampung Lebu kepada wakil perumahan disampaikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Penyerahan Kunci PR1MA Pahang di Majlis Perbandaran Bentong, hari ini. -PAHANGMEDIA

