Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 07 OKTOBER 2026 : Pahang Go Sdn Bhd terus mencatat pencapaian membanggakan apabila menerima Anugerah OpenGov Recognition of Excellence (ROE) 2026 atas usaha memacu inovasi dan transformasi digital bagi manfaat masyarakat.
Pengiktirafan tersebut diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Go Sdn Bhd, Ts. Affandi Mohd Isa pada Majlis Penyampaian Recognition of Excellence Awards yang turut dihadiri oleh Menteri Digital, YB Tuan Gobind Singh Deo, bersempena Annual Malaysia OpenGov CXO Leadership Forum kali ke-11 di Sofitel Kuala Lumpur Damansara.
Beliau turut disertai Ketua Pegawai Teknologi, Zulfa Juniadi Zulkifli dan Ketua Pegawai Operasi, Mohd Firdaus Mahamad Zakaria dalam menerima pengiktirafan berkenaan.
Pencapaian itu sekali gus mengiktiraf usaha Pahang Go dalam memacu inovasi digital serta memperluaskan penggunaan teknologi bagi memberi manfaat dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Pahang Go turut berdiri sebaris dengan beberapa organisasi dan institusi terkemuka yang menerima pengiktirafan pada majlis berkenaan termasuk CIMB Group, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kementerian Digital, Institut Jantung Negara (IJN) dan Pos Malaysia Berhad.
Anugerah tersebut diberikan kepada organisasi dan inisiatif yang menunjukkan kecemerlangan dalam penggunaan teknologi dan inovasi bagi menghasilkan impak bermakna serta meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan pelanggan.
Bagi Pahang Go, pengiktirafan tersebut turut mencerminkan sumbangan syarikat dalam memperkukuh kedudukan Pahang dalam perjalanan transformasi digital negara serta menyokong aspirasi negeri ke arah masa depan yang lebih terhubung dan dipacu teknologi digital.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pahang Go Sdn Bhd, Encik Ts. Affandi Mohd Isa, pengiktirafan berkenaan menjadi pembakar semangat kepada Pahang Go untuk terus memperkasa inovasi serta penggunaan teknologi yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Anugerah ini memberi inspirasi kepada kami untuk terus berinovasi dan memastikan teknologi terus memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Tambahnya, pengiktirafan itu juga menjadi dorongan kepada syarikat untuk terus meneroka dan memperluaskan inovasi digital selaras dengan komitmen memastikan teknologi membawa impak bermakna dan berterusan kepada masyarakat. -PAHANGMEDIA

