Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 06 OKTOBER 2026 : Pembinaan Dewan Terbuka Kampung Sempadan, Lanchang, di sini, membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kemudahan asas yang disediakan dapat memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat, khususnya penduduk di kawasan luar bandar.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dewan terbuka bernilai RM500,000 itu dibina menerusi peruntukan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Jadi sekarang saya berada di Kampung Sempadan, merasmikan dewan terbuka yang bernilai RM500,000.
“Alhamdulillah, ianya boleh memberi manfaat kepada orang kampung, dan ini menunjukkan bahawa dalam keadaan macam mana pun, kerajaan akan membuat yang terbaik untuk membantu rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Dewan Terbuka Kampung Sempadan sempena Majlis Perasmian Dewan Terbuka Kampung Sempadan dan Kenduri Sekampung, di sini, hari ini.

Hadir sama, YB Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad; Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Lanchang, YH. Dato’ Ridzuan Hazimin Ramli; barisan pimpinan setempat dan ketua-ketua jabatan.
Menurut YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy, dewan berkenaan mampu menampung kira-kira 300 orang sekiranya berada di dalam bangunan, manakala jumlah kapasiti boleh mencecah sehingga 500 orang sekiranya mengambil kira kawasan di luar dewan.
“Saya fikir kalau di dalam sahaja mungkin sampai 300 (orang). Sampai keluar mungkin sehingga 500. Kalau termasuk yang berdiri, boleh pergi sampai 700,” ujarnya.-PAHANGMEDIA

