Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 06 OKTOBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan Berjaya Hills Resort Bhd (Berjaya Hills) bagi menyelesaikan kemelut membabitkan penguatkuasaan terhadap tanah yang diusahakan syarikat itu di Bukit Tinggi, Bentong.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagaimanapun, sebarang penyelesaian berhubung perkara itu perlu dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang dan peraturan yang sedang berkuat kuasa.
“Itu terpulang kepada mereka. Kita ambil tindakan berlandaskan undang-undang.
“Kerajaan Negeri terbuka untuk perbincangan, tetapi masih berasaskan dan berpaksikan kepada undang-undang. Ikut peraturan, ikut perundangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Dewan Terbuka Kampung Sempadan dan Kenduri Sekampung di Dewan Terbuka Kampung Sempadan, Lanchang, di sini, hari ini.
Hadir sama, YB Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad; barisan pimpinan setempat serta ketua-ketua jabatan.
Berjaya Hills sebelum ini mendakwa tindakan penguatkuasaan terhadap hartanahnya oleh pihak berkuasa Pahang sebagai tidak munasabah dan tidak boleh diterima, susulan pertikaian berkaitan kenaikan cukai tanah.
Pertikaian berkenaan berpunca daripada kenaikan cukai tanah hartanah Berjaya Hills kepada RM33.7 juta pada 2020 berbanding tahun sebelumnya, sebelum dikurangkan kepada RM25.75 juta selepas beberapa rayuan dikemukakan kepada Kerajaan Negeri.
Sementara itu, mengulas mengenai Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) yang berlangsung semalam, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata perbincangan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan antara lain memberi tumpuan kepada usaha memastikan proses pembangunan tidak tergendala atau mengambil tempoh terlalu lama.
Menurut beliau, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan amat penting bagi memastikan sebarang isu berkaitan pembangunan tanah dapat diselesaikan dengan segera demi kepentingan rakyat.
“Kita tidak mahu proses pembangunan itu tergendala, lambat. Kita tidak mahu juga Persekutuan kata negeri, negeri kata Persekutuan. Jadi, kita cari satu jalan yang terbaik.
“Malah kita ada formula untuk memastikan apa-apa pembangunan untuk rakyat, kita selesaikan secara segera,” ujarnya.
Tambah beliau, meskipun urusan tanah berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan tetap diperlukan bagi memastikan proses pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar dan tidak membebankan rakyat. – PAHANGMEDIA

