Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 05 OKTOBER 2026 : Penganjuran Hari Kemahiran Peringkat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Pahang Tahun 2026 menjadi platform penting dalam memperkasa kemahiran masyarakat, mencungkil bakat serta meningkatkan potensi diri dalam pelbagai bidang kemahiran dan keusahawanan.
Program berkenaan turut memberi ruang khususnya kepada peserta KEMAS untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran yang berpotensi membuka peluang ekonomi serta menjana pendapatan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, penguasaan kemahiran mampu menjadi pemangkin kepada peningkatan ekonomi serta taraf hidup masyarakat.

“Kemahiran bukan sekadar ilmu untuk dipelajari, tetapi merupakan satu aset penting yang mampu membuka peluang ekonomi, menjana pendapatan dan meningkatkan taraf hidup keluarga.
“Justeru, usaha berterusan KEMAS dalam menyediakan platform latihan dan pembangunan kemahiran kepada masyarakat amatlah dihargai,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga KEMAS Negeri Pahang, tenaga pengajar serta peserta yang memberikan komitmen sepanjang program berkenaan berlangsung.
Beliau berharap segala ilmu dan kemahiran yang diperoleh peserta dapat dimanfaatkan sebaiknya, seterusnya menjadi pemangkin kepada lebih banyak peluang serta kejayaan pada masa akan datang. -PAHANGMEDIA

