KUANTAN, 04 OKTOBER 2026 : Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Pahang menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan dan pelucuthakan tanah milik Berjaya Hills Resort Berhad di Pahang adalah wajar dan dibuat mengikut peruntukan undang-undang.
Menurut Yang Dipertua PVATM Negeri Pahang, Kapt Abdul Latiff bin Mohd Nor (B), kenyataan syarikat terbabit yang menyifatkan tindakan kerajaan negeri sebagai “tidak munasabah” serta “sama sekali tidak boleh diterima” perlu dilihat berdasarkan fakta dan proses perundangan yang betul.
Beliau memaklumkan bahawa tindakan tersebut bukan diambil secara tiba-tiba, sebaliknya membabitkan tunggakan cukai tanah berjumlah RM70.48 juta yang merangkumi 122 hak milik sejak tahun 2020. Semua tindakan penguatkuasaan dan pengeluaran notis telah dilaksanakan mematuhi peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
“Persoalannya mudah, jika terdapat tunggakan cukai tanah yang begitu besar dan tindakan dibuat berdasarkan undang-undang, atas asas apakah tindakan tersebut boleh dilabel sebagai tidak munasabah?” tegas beliau dalam satu kenyataan.
PVATM Pahang turut meluahkan pandangan bahawa pihak syarikat sepatutnya berasa malu dan bukannya mempertikaikan tindakan penguatkuasaan Kerajaan Negeri Pahang.
“Ramai pemilik tanah biasa, termasuk rakyat yang mempunyai kemampuan kewangan jauh lebih terhad, tetap berusaha memastikan cukai tanah mereka dibayar. Adalah tidak adil sekiranya pemilik tanah kecil bersusah payah menunaikan kewajipan mereka, sedangkan syarikat besar mempunyai tunggakan puluhan juta ringgit lalu mempersoalkan tindakan yang diambil,” katanya.
Walaupun PVATM menghormati hak syarikat berkenaan untuk meneruskan proses perundangan, beliau mengingatkan bahawa hak merayu tidak bermakna kewajipan mematuhi undang-undang boleh diketepikan.
Isu ini tegasnya, bukanlah berkenaan kerajaan negeri menentang pihak Berjaya, sebaliknya ia adalah soal tanggungjawab pemilik tanah dalam memenuhi kewajipan mereka serta peranan kerajaan negeri bagi memastikan undang-undang dan hasil negeri sentiasa dipelihara.
“Undang-undang mesti dihormati. Prinsip keadilan mesti dipertahankan dan kewajipan kepada negeri tidak seharusnya berbeza berdasarkan siapa pemilik tanah tersebut,” tambah beliau. -PAHANGMEDIA

