Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
MARAN, 03 OKTOBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang menyasarkan untuk mencungkil lebih ramai bakat baharu dalam sukan sepak takraw menerusi penganjuran Sepak Takraw League Pahang yang melibatkan penyertaan dari seluruh daerah di negeri ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejohanan berkenaan yang julung kali diadakan dilihat mendapat sambutan menggalakkan daripada anak-anak muda, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk mengenal pasti bakat berpotensi bagi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Kita nak Pahang, sesuai dengan slogan Pahang First, supaya suatu hari nanti ramai pemain-pemain negara datang daripada Pahang, mewakili negara dan juga bertanding di peringkat kebangsaan, peringkat dunia dan kita akan muncul sebagai johan.

“Kita kena bermula daripada bawah untuk mencungkil bakat-bakat (baharu) dan sambutan daripada anak-anak muda (dilihat) begitu menggalakkan” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Grand Final Kejohanan Sepak Takraw Pahang 1st Piala Menteri Besar Pahang 2026 di Dewan Balora Mastika, Jengka.
Menurut beliau, penganjuran liga itu turut mendapat sokongan pembiayaan sebanyak RM500,000, yang membolehkan usaha pembangunan sepak takraw di peringkat akar umbi dilaksanakan dengan lebih tersusun.

Dalam pada itu, beliau berkata, usaha mencungkil bakat tidak akan terhad kepada komuniti setempat, sebaliknya akan diperluaskan kepada masyarakat Orang Asli bagi memberi peluang kepada golongan berkenaan menyerlahkan potensi dalam sukan sepak takraw.
“Kita juga mahu melebarkan usaha ini kepada masyarakat Orang Asli dan mencungkil bakat daripada kalangan mereka untuk diketengahkan dalam pasukan-pasukan negeri yang berjaya,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan pemain akan dimulakan melalui pembentukan pasukan dan bakat di peringkat negeri terlebih dahulu sebelum usaha melahirkan pemain untuk ke peringkat kebangsaan dapat diperkasakan.
“Kita bermula dengan peringkat negeri dahulu. Dari situ kita akan kenal pasti bakat dan mereka boleh dibentuk untuk pergi lebih jauh,” katanya. -PAHANGMEDIA

