Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
PEKAN, 25 SEPTEMBER 2026 : UMNO Bahagian Pekan menyumbang lebih RM36,000 kepada Tabung Solidariti Najib sebagai tanda kasih kepada YH Dato’ Sri Mohamad Najib Tun Haji Abdul Razak.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Pekan, YB. Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Arif, tabung ini hasil kutipan sejak digerakkan pada 19 September lepas.
“UMNO Pekan menyambut baik inisiatif Presiden UMNO, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail yang telah melancarkan Tabung Sumbangan bagi membantu YH Dato’ Sri Mohd Najib melunaskan denda yang dikenakan.
“Sebagai tanda kasih dan sayang yang tidak berbelah bagi kepada YH Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, UMNO Pekan juga telah menggerakkan kepimpinan di setiap peringkat untuk mengumpulkan dana sebanyak mungkin bermula pada 19 September yang lalu.
“Jumlah kutipan yang dikumpul selama enam hari sejak tabung ini dilancarkan adalah sebanyak RM36,204.15,” katanya pada sidang media di Inderapura Lake Resort hari ini.

Beliau berkata UMNO Pekan turut menerima keputusan pengampunan bersyarat yang diumumkan dengan penuh hormat dan menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan serta Institusi Raja Berperlembagaan.
“UMNO Pekan dengan penuh takzim merafak sembah dan menjunjung kasih ke hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas limpah perkenan Baginda berhubung pengampunan bersyarat yang telah diberikan melalui Lembaga Pengampunan pada 18 September 2026.
“Bagi keluarga besar UMNO Pekan khususnya, serta warga Pekan amnya, keputusan ini!sememangnya membawa kesan dan makna yang amat besar. Namun, perjuangan bagi mendapatkan keadilan buat YH Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak masih belum selesai,” katanya.
Menurut beliau, kutipan bagi tabung berkenaan juga tidak akan terhenti setakat ini walaupun UMNO Pekan menyatakan komitmen sumbangan sebanyak RM30,000 sahaja kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang.
“Setakat ini kita menumpukan kepada kutipan tabung dan kita sarankan mereka di DUN (Dewan Undangan Negeri) dan kawasan masing-masing untuk adalan solat syukur dan terima kasih kepada apa yang dikurniakan kepada kita ini,” katanya.
Tambah beliau, UMNO Pekan turut mendoakan semoga YH Dato’ Sri Mohd Najib dikurniakan ketabahan dan kesihatan yang baik, serta dipermudahkan segala urusan. -PAHANGMEDIA

