Oleh : Nur Saadah Artika
KUALA LUMPUR, 25 SEPTEMBER 2026 : Pengiktirafan Pahang sebagai State Partner Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2026 menjadi platform strategik bagi Kerajaan Negeri memperluas pasaran produk usahawan tempatan ke peringkat global.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam berkata, penyertaan Pahang sebagai State Partner pada MIHAS tahun ini memberi ruang lebih besar kepada usahawan negeri khususnya dalam kluster halal untuk memperkenalkan dan mempromosikan produk mereka kepada pasaran global.

“Alhamdulillah, hari ini Kerajaan Negeri Pahang dinobatkan sebagai State Partner pada MIHAS 2026 dan ini merupakan satu platform kepada usahawan-usahawan Negeri Pahang.
“Kita bersama 20 orang usahawan yang telah kita tawarkan untuk memperkenalkan dan mempromosikan produk-produk halal mereka di pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan tinjauan ke Pavilion Pahang sempena MIHAS 2026 yang berlangsung di Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Beliau berkata, kedudukan Pahang sebagai State Partner perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan produk keluaran usahawan negeri mampu menembusi pasaran lebih luas dan berada pada tahap setanding dengan produk dari negeri serta negara lain.

“Seperti yang diumumkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri jualan yang telah diunjurkan iaitu 1.6 Bilion USD, inilah satu jumlah yang sangat besar.
“Inilah peluang dan ruang kepada usahawan-usahawan Negeri Pahang, terutamanya yang berada dalam kluster halal untuk kita bergerak bersama bagi meletakkan produk-produk Negeri Pahang setara dengan negeri dan negara-negara lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata usaha memperkukuh industri halal Pahang tidak seharusnya tertumpu kepada penghasilan produk semata-mata, sebaliknya turut meliputi keseluruhan proses pengeluaran serta pembangunan modal insan.
“Hari ini bukan kita mahukan produk halal sahaja, malah kita mahukan proses halal tersebut.
“Ini yang kita mahu tekankan kepada semua usahawan supaya mereka dapat mengenal pasti bahawa produk mereka bukan sahaja produk biasa, tetapi proses itu termasuk manusia itu sendiri atau human capital dan halal kita di Malaysia ini sudah diiktiraf di peringkat Antarabangsa,” katanya. -PAHANGMEDIA

