Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Syafiqah Jamaluddin
PEKAN, 22 SEPTEMBER 2026 : Seramai 87 penerima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bebar menerima manfaat sumbangan Kerajaan Negeri Pahang berjumlah kira-kira RM262,000 bagi membantu meringankan beban serta memenuhi keperluan golongan yang memerlukan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, bantuan berkenaan merupakan antara usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian.
“Hari ini saya menyampaikan sumbangan daripada Kerajaan Negeri berjumlah lebih kurang RM262,000 kepada 87 penerima yang telah diluluskan permohonannya oleh pihak Kerajaan Negeri.
“Saya amat bersyukur dan berharap seluruh penerima sentiasa bersyukur serta berterima kasih atas nikmat dan bantuan yang dapat kita rasai pada hari ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Cek Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang di Pusat Khidmat Rakyat DUN Bebar, di sini, hari ini.

Menurut beliau, penyaluran bantuan berkenaan dapat dilaksanakan hasil kedudukan kewangan Negeri Pahang yang baik, sekali gus membolehkan Kerajaan Negeri meneruskan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat.
“Semua ini tidak mungkin dapat kita laksanakan sekiranya kita tidak mempunyai sebuah kerajaan yang stabil, dengan matlamat dan hala tuju yang baik.
“Dengan kedudukan kewangan Negeri Pahang yang baik, kita dapat menyalurkan pelbagai bentuk sumbangan bagi membantu rakyat yang sangat memerlukan,” katanya.
Beliau berkata, setiap permohonan bantuan turut melalui proses penelitian di peringkat akar umbi bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Katanya, sokongan dan pengesahan ketua-ketua kampung, termasuk hasil siasatan di peringkat akar umbi, menjadi antara asas pertimbangan dalam menentukan kelayakan penerima.
“Setiap permohonan perlu mendapat pengesahan dan sokongan ketua-ketua kampung berdasarkan siasatan yang dibuat di peringkat akar umbi supaya sumbangan ini benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya.-PAHANGMEDIA

