Oleh : Syafiqah Jamaluddin
KUANTAN, 19 SEPTEMBER 2026 : Pahang menyasarkan nilai ekonomi negeri mencecah RM100 bilion menjelang 2030, dengan enam sektor strategik dikenal pasti sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi serta tarikan pelaburan baharu negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, berkata sasaran berkenaan memerlukan usaha berterusan menerusi kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Persekutuan.
“Enam sektor berkenaan ialah bahan termaju (advanced materials) termasuk grafena dan litium; pelancongan; keterjaminan makanan serta pertanian dan agrokultur; logistik dan pembangunan berorientasikan transit (Transit-Oriented Development – TOD) di sekitar stesen ECRL; kenderaan elektrik (EV) dan automotif; serta tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi panel dalam Forum Membincangkan Ekonomi Negeri Pahang menerusi Borak Negeri: Poket Kita, Masa Depan Pahang, dalam sesi Fireside Chat: Aspirasi dan Masa Depan Ekonomi Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.
Katanya, sektor pelancongan turut mempunyai kepentingan besar dalam ekonomi negeri apabila menyumbang hampir 20 peratus daripada nilai ekonomi Pahang, sekali gus menjadikannya antara sektor yang terus diberi perhatian dalam strategi pertumbuhan ekonomi negeri.

Menurut beliau lagi, bagi memastikan sasaran berkenaan dapat dicapai, Kerajaan Negeri menetapkan sasaran pelaburan setiap tahun dengan memberi tumpuan kepada sektor yang mempunyai kekuatan dan kelebihan strategik di Pahang.
“Setiap tahun kita ada sasaran pelaburan dan seperti yang saya katakan semasa forum tadi, kita memberi tumpuan kepada enam sektor,” katanya.
Jelas beliau, pendekatan berfokus berkenaan membolehkan setiap cadangan pelaburan yang diterima diselaraskan dengan kekuatan sebenar Pahang, sekali gus memastikan sumber dan peluang ekonomi negeri dimanfaatkan secara lebih strategik.
“Program ini merupakan usaha sama antara Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Persekutuan. Saya fikir forum sebegini amat penting supaya kita dapat menerangkan sedikit sebanyak mengenai perkembangan ekonomi yang berlaku di negeri Pahang, selain mengaitkannya dengan perkembangan di peringkat Persekutuan,” katanya.
Forum Membincangkan Ekonomi Negeri Pahang menerusi Borak Negeri: Poket Kita, Masa Depan Pahang menjadi platform untuk membincangkan kedudukan ekonomi semasa serta hala tuju pembangunan ekonomi negeri menuju 2030, selain memberi pendedahan dan pemahaman kepada pemimpin masyarakat mengenai perkembangan ekonomi semasa dan agenda pembangunan negeri.
Program anjuran Pejabat Timbalan Menteri Ekonomi, Kementerian Ekonomi itu dilaksanakan secara bersiri melibatkan Zon Timur, Zon Tengah, Zon Selatan, Zon Barat serta dua zon khas yang menghimpunkan pemimpin masyarakat dari seluruh Pahang.
Menerusi program berkenaan, perbincangan secara lebih dekat turut memberi ruang kepada pemimpin masyarakat memahami hala tuju ekonomi negeri serta kaitannya dengan kehidupan dan masa depan rakyat. -PAHANGMEDIA

