Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto ehsan : Shahrul Azfar Abdul Rahman
LIPIS, 19 SEPTEMBER 2026 : Pengalaman berkongsi tarikh perkahwinan dengan pasangan lain dalam Program Anggun Suri (Perkahwinan Beramai-ramai) Parlimen Lipis ternyata menjadi kenangan manis buat 10 pasangan pengantin yang diraikan dalam majlis berkenaan, hari ini.
Tidak hanya itu, kesemua mereka melihat program berkenaan sebagai peluang untuk melangsungkan perkahwinan dengan kos yang lebih rendah berbanding majlis secara bersendirian.
Bagi pengantin, Iwani Syazwina Abdul Wahid, 24, yang mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Asyraf Mohd Shukri, 26, penyertaan dalam program berkenaan banyak membantu mereka terutama dari segi penjimatan kos serta memudahkan urusan perkahwinan.

Katanya, dia pada awalnya tidak menyangka pengalaman berkahwin secara beramai-ramai akan menjadi sesuatu yang menyeronokkan, namun suasana majlis bersama pasangan lain menjadikan hari bahagianya lebih bermakna.
“Saya pilih untuk berkahwin dalam program Anggun Suri sebab banyak menjimatkan kos dan memudahkan kami untuk berkahwin.
“Pada mulanya ingatkan tidak seronok, tetapi sebenarnya seronok juga berkahwin macam ini,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.
Program Anggun Suri (Perkahwinan Beramai-ramai) Parlimen Lipis yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Hajah Sabariah Saidan, dengan turut dihadiri Pegawai Daerah Lipis, YH Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim serta barisan pimpinan setempat.
Iwani Syazwina juga memberitahu, keluarganya turut gembira apabila dia menjadi antara ahli keluarga pertama yang melangsungkan perkahwinan menerusi program berkenaan.

Sementara itu, Nur Dania Qistina Shaiful Shakirin, 18, dan suaminya, Muhammad Riduan Arif Yusof, 26 pula berkata penyertaan dalam program berkenaan dipilih bagi membantu mengurangkan kos perkahwinan yang semakin meningkat.
“Sekarang kos perkahwinan tinggi. Jadi, kalau ada program seperti ini, ia sangat membantu terutama kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk turut serta dalam program kahwin beramai-ramai,” katanya.
Nur Dania turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang atas sumbangan serta penganjuran program berkenaan yang banyak membantu pasangan pengantin.
“Saya nak cakap terima kasih kepada Tok Wan kerana memberi sumbangan kepada kami, kepada pengantin Anggun Suri lah. Terima kasih, Tok Wan.
“Kami sangat berpuas hati, daripada segi majlis, akad nikah semua. Sangat membantu lah,” ujarnya.-PAHANGMEDIA

