Oleh : Norhafizan Zulkifli
TEMERLOH, 17 SEPTEMBER 2026 : Masyarakat Orang Asli di Pahang diminta tidak terpengaruh dengan dakwaan dan propaganda tidak bertanggungjawab berhubung isu tanah, sebaliknya perlu memberi kerjasama bagi membolehkan isu berkenaan diselesaikan secara harmoni.
YB Senator Orang Asli, Tuan Shahrol Wizan Sulong berkata, tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan pihak berkuasa adalah berdasarkan fakta serta peruntukan undang-undang, khususnya apabila kawasan terbabit didakwa belum diwartakan secara sah sebagai kawasan penempatan Orang Asli.
Menurutnya, pihak penguat kuasa dan Kerajaan Negeri juga difahamkan telah beberapa kali mengadakan rundingan dengan masyarakat setempat bagi mencari penyelesaian terhadap isu yang timbul.
“Jadi saya mintalah kerjasama daripada masyarakat setempat untuk memberikan kerjasama supaya isu yang dibangkitkan itu dapat kita selesaikan dengan cara yang lebih harmoni,” katanya ketika ditemui di Dataran Temerloh, semalam.
Beliau berkata, dakwaan yang menyamakan tindakan penguatkuasaan dengan Israel adalah tidak wajar dan keterlaluan kerana Kerajaan Negeri, katanya, tidak pernah menganaktirikan atau membeza-bezakan masyarakat Orang Asli.
Sebaliknya, beliau berkata, Kerajaan Negeri dilihat komited dalam usaha membangunkan masyarakat Orang Asli termasuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan mereka terus diberi perhatian.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa ketiadaan istilah tanah adat Orang Asli sebagaimana titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dari sudut undang-undang di Pahang tidak bermakna masyarakat Orang Asli tidak mempunyai hak untuk memiliki tanah.
“Isu tanah ini mestilah melalui prosedur-prosedur yang telah ditentukan oleh pihak kerajaan. Penempatan Orang Asli mesti diberikan pewartaan ataupun hak milik yang sewajarnya supaya tidak timbul isu bahawa Orang Asli tidak layak atau tidak berhak memiliki tanah,” katanya lagi.
Beliau turut menggesa masyarakat Orang Asli menggunakan saluran yang betul dengan berunding bersama pihak kerajaan dan agensi berkaitan, selain tidak membenarkan pihak luar mengeksploitasi isu berkenaan untuk kepentingan tertentu.
Katanya lagi, usaha penyelesaian isu tanah perlu mengambil kira keperluan sebenar masyarakat Orang Asli, termasuk memastikan tanah kampung dan kebun mereka diwartakan serta pemilikan dapat dinikmati secara lebih adil.
“Kalau kita nak satu gunung mungkin tidak dapat, tetapi yang sebenarnya kita kena dapat apa yang sepatutnya, keperluan, bukan kehendak kita. Keperluan kita ialah kampung-kampung Orang Asli diusahakan untuk diwartakan tanah kampung dan tanah kebun mereka,” ujarnya.
YB Tuan Shahrol Wizan juga berkata, isu pemilikan tanah juga perlu diuruskan dengan baik supaya tidak berlaku keadaan sebahagian kecil individu mengusahakan tanah melebihi keluasan yang sepatutnya, sedangkan masih terdapat masyarakat Orang Asli yang belum memperoleh walaupun seekar tanah.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya tidak gopoh dalam memperjuangkan isu berkenaan, sebaliknya berpandukan fakta dan keperluan sebenar agar usaha pembangunan masyarakat Orang Asli di Pahang dapat diteruskan dalam suasana aman, harmoni dan tidak menjejaskan perpaduan antara kaum.-PAHANGMEDIA

