Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
BENTONG, 16 SEPTEMBER 2026 : Kerajaan Pahang bakal mengagihkan 10,000 topi keledar kepada anak muda di negeri ini sebagai sebahagian daripada usaha menjaga kebajikan dan keselamatan mereka.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemberian topi keledar berkenaan dijangka dapat dilaksanakan pada hujung tahun ini.
“Topi keledar itu dalam proses dan telah ditempah dan kita akan bagi semua kepada mereka lebih kurang 10,000.

“Bila siap (topi keledar) dapat bekalan, kita akan edarkan, dalam tahun ini juga insyaAllah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Inisitif Makmur (IM) Pahang Kluster Siswa Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai di Geo Resort dan Hotel, Genting Highlands.
Beliau berkata selain pemberian insentif topi keledar kepada anak muda, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan skim pembiayaan pembelian motosikal tanpa faedah khusus kepada golongan muda di negeri ini.
“Dan di samping itu seperti mana yang saya maklumkan sebelum ini, Kerajaan Negeri akan memberikan pinjaman motorsikal kepada anak-anak yang berada di IPT (Institut Pengajian Tinggi).
“Detailnya kita akan maklumkan kemudian. Tanpa faedah. Nilainya mungkin antara RM5,000 ke RM6,500, belum dimuktamadkan,” katanya.

Dalam program sama, seramai 146 mahasiswa dari DUN Jelai turut menerima bantuan tunai sebanyak RM400 secara one-off daripada Kerajaan Negeri bagi membantu proses pembelajaran mereka di IPT.
“Hari ini Program Inisiatif Makmur Kluster Siswa tapi fokus untuk DUN Jelai ada seramai 146 orang siswa siswi daripada Jelai. Tok Wan menyampaikan bantuan kepada mereka seperti mana yang sebelum ini. Dulu kita bagi RM200, lepas itu kita naik RM300, kali ini RM400 secara one-off untuk anak-anak siswa siswi daripada Pahang.
“Bantuan ini adalah tanda ingatan Kerajaan Negeri kepada siswa siswi yang belajar di menara gading. Walaupun tidak banyak, tetapi saya percaya ia boleh meringankan bebanan kewangan semasa mereka belajar.
“Dan saya berharap mereka gunakan wang ini dengan sebaik mungkin semasa mereka berada di kampus,” katanya. -PAHANGMEDIA

