Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 SEPTEMBER 2026 : Niat asalnya hanya mahu menyokong bola sepak Pahang, namun seorang peminat tidak menyangka kunjungannya ke Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah 2026 berakhir dengan membawa pulang rezeki sebuah kereta Proton Saga.
Mohd Hazrin Mustapa, 42, dari Bukit Rangin menyifatkan kemenangan itu sebagai rezeki tidak terduga selepas namanya dipilih sebagai pemenang cabutan bertuah pada program berkenaan.
Mohd Hazrin yang hadir seorang diri dengan menaiki motosikal untuk memberi sokongan kepada arena bola sepak tempatan berkata dia mengetahui mengenai perlawanan akhir liga berkenaan menerusi media sosial dan maklumat daripada orang sekeliling.
“Alhamdulillah, memang satu rezeki yang tidak terduga. Kita datang ini hanya untuk menyokong bola sepak Pahang, tetapi semuanya ketentuan Allah SWT dan dengan rezeki yang diberikan, dapat menang pada malam ini.
“Saya datang seorang diri untuk sokong bola sepak Pahang. Tetapi ketentuan Allah, dapat pula rezeki yang tidak disangka-sangka.
“Kita memang seorang peminat bola sepak, jadi kita datang ni sebenarnya untuk menyokong bola sepak Pahang tetapi ketentuan Allah, takdir-Nya kita dapat rezeki yang tak disangka, tak ternilai,” katanya.]

Bapa kepada empat anak itu berkata, dia masih belum memutuskan apa yang akan dilakukan terhadap kereta berkenaan dan akan berbincang terlebih dahulu bersama isterinya.
“Saya kena bincang dengan orang rumah dulu. Dia pun tidak tahu lagi (dapat kereta) kerana ketika saya telefon, dia tidak jawab, mungkin sudah tidur. Jadi kita bincang dahulu dan tengok keadaan,” katanya.
Mohd Hazrin yang bekerja sebagai kakitangan awam di Kem Galing itu turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Pahang kerana menganjurkan Liga Rakyat yang disifatkannya sebagai platform baik untuk mencungkil bakat baharu bola sepak negeri.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana menganjurkan Liga Rakyat ini yang memberi ruang untuk kita mencari bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan untuk bola sepak Pahang.
“Saya juga menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Paduka Baginda atas sokongan dan dokongan yang diberikan untuk Liga Pahang First ini,” katanya.
Cabutan bertuah berkenaan disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah. -PAHANGMEDIA

