Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 13 SEPTEMBER 2026: Fiesta Rakan Muda Pahang terus diperkasa sebagai platform penting dalam membentuk generasi muda yang berdisiplin, mempunyai jati diri tinggi serra mengamalkan gaya hidup sihat.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Fadzli Mohamad Kamal, pendekatan menerusi program berkenaan dilihat mampu membantu anak muda mendepani pelbagai cabaran kehidupan masa kini.

“Saya gembira kerana Rakan Muda ini dah lama tenggelam. Sejak penubuhannya pada tahun 1994, masa tu sangat aktif dan hari ini, diperkasakan semula.
“Saya harap sangat Kementerian Belia dan Sukan menyuntik peruntukan yang lebih besar kepada program-program Rakan Muda ini. Hal ini kerana, sepuluh gaya hidup yang diterapkan dalam Rakan Muda ini memang sangat berkesan kepada anak muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Fiesta Rakan Muda Pahang Tahun 2026 di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Negeri Pahang.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited dalam menyokong pembangunan golongan belia menerusi pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif di seluruh negeri.

“Rakan Muda ini dibawah inisiatif Kementerian Belia dan Sukan. Di peringkat Kerajaan Negeri Pahang, kita bantu dengan pelaksanaan program-program lain dan Kerajaan Negeri Pahang antara kerajaan negeri yang berbelanka besar untuk belia.

“Saya bagi contoh, Festival Belia Negeri Pahang dan Anugerah Belia Negeri Pahang, kerajaan negeri belanja sebanyak RM 600,000 untuk pelaksanaan program tiga hari dua malam ini..
“Tidak ada Negeri lain yang berbelanja sebesar ini. Itu yang saya nak bagitahu bahawa Kerajaan Negeri Pahang cukup mengambil berat soal masa depan anak muda ini dengan bantuan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang dan Majlis Belia Negeri Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

