Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUALA LUMPUR, 10 SEPTEMBER 2026 : Pahang Aerospace City (PAC) di Gebeng berpotensi menarik pelaburan sehingga RM6 bilion menerusi pembangunan pelbagai industri berteknologi tinggi, sekali gus menjadikannya lebih daripada sekadar hab lapangan terbang baharu Pahang.
Pembangunan bersepadu seluas kira-kira 5,000 hektar itu menyasarkan pelaburan awal antara RM2 bilion hingga RM3 bilion, dengan jumlah berpotensi meningkat kepada RM5 bilion hingga RM6 bilion apabila lebih banyak pelabur strategik menyertai projek berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, berkata PAC direka sebagai ekosistem ekonomi baharu yang menggabungkan industri aeroangkasa, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pusat data, kecerdasan buatan (AI), dron, kenderaan udara tanpa pemandu (UAV),pesawat elektrik berlepas dan mendarat secara menegak (eVTOL) dan Space City (bandar angkasa).
“Saya fikir tak ada masalah untuk menarik pelabur daripada luar, sebab ini merupakan airport pertama yang dikenali sebagai multimodal omniport. Maksudnya ada pelbagai jenis pengangkutan, teknologi pengangkutan yang ada pada satu tempat. Kita ada airport, kita ada dron, kita ada roket, kereta api pun ada.. macam-macam ada, tak jauh daripada Pelabuhan Kuantan.

“Kita tak tahu angka sebenar, sebab jumlah pelabur yang akan masuk belum dimuktamadkan lagi, jadi kita belum tahu berapa banyak jumlah pelaburan yang mereka akan bawa masuk.
“Tapi pada hemat saya, sekurang-kurangnya RM2 bilion hingga RM3 bilion itu, insyaAllah… mungkin lebih lagi, RM5 bilion hingga RM6 bilion paling tidak pun,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara GreenRE Sdn Bhd dan Pahang Aerospace City Development Berhad (PACDB) sempena International Sustainability Week (ISW) bertempat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

Katanya lagi, pembangunan berkenaan turut memberi tumpuan kepada industri MRO, termasuk penyelenggaraan dan pengujian pesawat, selain pembangunan Space City yang berpotensi membuka ruang kepada industri pembuatan satelit dan teknologi pelancaran.
“Walaupun ia dikenali sebagai lapangan terbang yang baharu, tapi itu bukan lapangan terbang semata-mata; dalam komponen pembangunan itu ada pelbagai lagi jenis pembangunan yang akan dibawa masuk, dari segi pelaburan berteknologi tinggi, dari segi industri baharu,” ujarnya.

PAC turut merangkumi Advanced Mobility Park, pusat data, pembangunan berorientasikan transit (TOD), kawasan komersial serta cadangan zon perdagangan bebas, manakala empat daripada tujuh presint yang dirancang telah dipersetujui untuk dibangunkan.
Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan disasarkan mula beroperasi pada suku keempat 2031 dengan kapasiti sehingga dua juta penumpang setahun, manakala kemudahan ECRL Gebeng dijangka mengukuhkan hubungan PAC dengan rangkaian pengangkutan darat.

Beliau dalam pada itu berkata, PAC dijangka mewujudkan antara 12,000 hingga 15,000 peluang pekerjaan serta menarik kira-kira 50,000 penduduk apabila dibangunkan sepenuhnya.
Dalam perkembangan berkaitan, PACDB turut bekerjasama dengan GreenRE Sdn. Bhd. menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memastikan aspek kelestarian dan aspirasi net zero diterapkan secara tersusun, boleh diukur serta dinilai secara bebas dalam pembangunan PAC. -PAHANGMEDIA

