Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Shahrizar Adzhar
TEMERLOH, 30 OGOS 2026 : Program Anggun Suri (Perkahwinan Beramai-ramai) kini menjadi pilihan buat pasangan pengantin meraikan hari bahagia secara lebih meriah di samping membantu meringankan beban kewangan mereka dalam mendirikan rumah tangga.
Bagi pasangan Mohamad Faiz Azlan, 23, dan Siti Aishah Maisarah Azmadi, 23, penyertaan dalam program berkenaan amat bermakna kerana membolehkan mereka menjimatkan kos berbanding mengadakan majlis perkahwinan secara bersendirian.

Mohamad Faiz berkata, sekiranya mereka mengadakan majlis perkahwinan pada Disember seperti perancangan asal, kos yang perlu ditanggung pastinya lebih tinggi.
“Kalau ikutkan, majlis kami sepatutnya diadakan pada bulan Disember, namun menerusi program ini urusan kami menjadi lebih mudah dan dapat menjimatkan perbelanjaan.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana memudahkan urusan pengantin muda seperti kami untuk mendirikan rumah tangga,” katanya ketika ditemui selepas Program Anggun Suri Parlimen Temerloh di Dewan Seri Mentakab, Mentakab, di sini hari ini.
Katanya, penyertaan dalam program berkenaan memberi pengalaman baharu kepada mereka apabila dapat meraikan hari bahagia bersama pasangan pengantin lain.
Sementara itu, pasangan Mohd Nassry Assmadi Mat Alias, 39, dan Nurfatin Farahana Jafri, 25, berkata mereka mengetahui mengenai Program Anggun Suri menerusi seorang rakan yang pernah menyertai program berkenaan sebelum ini.

Mohd Nassry berkata, rakannya pernah menyertai program berkenaan dan berkongsi pengalaman mengenai manfaat perkahwinan secara beramai-ramai, terutama dari aspek penjimatan kos.
“Kawan saya pernah menyertai program ini. Dia orang Paya Pulai dan apabila mendapat peluang menyertai Anggun Suri di Parlimen, dia beritahu memang dapat menjimatkan kos apabila berkahwin secara beramai-ramai.
“Selain menjimatkan kos, berkahwin beramai-ramai juga lebih menyeronokkan kerana dapat berkongsi kegembiraan bersama pasangan lain,” katanya.
Menurutnya, objektif utama penyertaan mereka dalam program berkenaan adalah untuk mengurangkan beban perbelanjaan selain memastikan majlis perkahwinan tetap dapat diraikan dalam suasana meriah.
Terdahulu, sembilan pasangan diraikan menerusi Program Anggun Suri (Perkahwinan Beramai-ramai) Tahun 2026 Parlimen Temerloh yang dianjurkan sebagai antara inisiatif Kerajaan Negeri Pahang membantu pasangan mendirikan rumah tangga.
Program berkenaan turut menjadi platform untuk meringankan beban pasangan pengantin menerusi perkongsian kos dan kemudahan yang disediakan, selain mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat setempat.-PAHANGMEDIA

