PEKAN, 19 OKTOBER 2026 : UCYP University menerusi program tanggungjawab sosial universiti (USR) Grow Now, Grow Futures berjaya melaksanakan penanaman 300 batang pokok di Hutan Simpan Chini, di sini, semalam.
Program dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Pahang dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang itu bertujuan menyokong pemuliharaan alam sekitar serta memelihara kelestarian hutan untuk generasi akan datang.
Seramai 100 peserta melibatkan warga UCYP University, BSN, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan komuniti Orang Asli menyertai program berkenaan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik) UCYP University, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Hamisa bin Abdul Hamid berkata, program itu mencerminkan komitmen universiti dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai kesedaran dan tanggungjawab sosial yang tinggi.
Beliau berkata, penglibatan pelajar dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar turut memberikan pengalaman bermakna di luar bilik kuliah, selain memupuk semangat kesukarelawanan dan keprihatinan terhadap komuniti.
Dalam pada itu, BSN Cawangan Pahang menyumbang RM10,000 bagi menyokong pelaksanaan program berkenaan, manakala Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menyediakan anak pokok untuk aktiviti penanaman.
Turut hadir, Pengarah BSN Cawangan Pahang, Tuan Mohd Khasnieddy bin Khasimi dan Timbalan Pengarah Perhutanan (Pembangunan), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Tuan Harry Yong.
Inisiatif itu turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG), khususnya tindakan terhadap perubahan iklim (SDG 13), kehidupan di darat (SDG 15) dan perkongsian untuk matlamat (SDG 17).
Kerjasama strategik antara institusi pendidikan tinggi, sektor perbankan, agensi kerajaan dan komuniti setempat itu diharap dapat diteruskan bagi memperluas usaha pemuliharaan alam sekitar serta memastikan kelestarian khazanah alam untuk generasi masa hadapan. – PAHANGMEDIA

