Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 19 OKTOBER 2026 : Lebih 5,000 umat Islam dari seluruh negara dan luar negara berhimpun bagi mengimarahkan Majlis Haul Memperingati Tokoh Ulama Kampung Kuala Tekal Kali Ke-28 Tahun 2026 di Masjid Ribat Baalawi Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Kampung Kuala Tekal, di sini semalam.
Majlis tahunan yang berlangsung dalam suasana penuh keberkatan itu menyaksikan laungan selawat, bacaan tahlil, doa dan qasidah sebagai tanda penghormatan terhadap jasa ulama terdahulu yang menyebarkan syiar Islam di Kampung Kuala Tekal sejak kira-kira 200 tahun lalu.

Antara yang hadir ialah pendakwah terkenal, Habib Ali Zainal Abidin al-Hamid, selain barisan ulama, guru agama dan pelajar Tahfiz dari dalam serta luar negara.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, antara tokoh yang diperingati ialah Al-Habib Hasyim bin Abu Bakar bin Abdur Rahman Benyahya yang datang ke kawasan itu kira-kira dua abad lalu bagi menyampaikan dakwah kepada masyarakat setempat.
“Beliaulah yang datang ke sini kira-kira 200 tahun lalu untuk menyebarkan agama Islam ketika kawasan ini masih belum mempunyai kemudahan asas dan keselesaan seperti yang kita nikmati hari ini.
“Pada ketika itu, beliau hanya menggunakan laluan sungai untuk sampai ke sini yang mana pada ketika itu masjid ini terletak di tepi sungai,” katanya ketika menyampaikan ucapan merasmikan majlis berkenaan.

Menurutnya, kawasan Masjid Lama Kampung Kuala Tekal dan tanah perkuburan lama di situ menjadi saksi kepada sejarah perjuangan tokoh ulama berkenaan, termasuk saudara sepupunya, Aqil bin Husin bin Abdul Rahman bin Yasin serta anak murid mereka.
Katanya, jasa dan pengorbanan ulama terdahulu wajar terus dikenang, terutama dalam memastikan kesinambungan dakwah serta penghayatan ilmu agama dalam kalangan generasi muda.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ulama, habaib, guru agama dan pelajar yang menghadiri majlis berkenaan, sambil berharap perhimpunan itu menjadi medan untuk masyarakat bersama-sama memohon keberkatan dan rahmat Allah SWT.
Majlis yang bermula kira-kira pukul 4 petang itu dimulakan dengan sesi daurah kitab bersama tokoh ulama di Masjid Lama Kampung Kuala Tekal sebelum jemaah berarak ke tanah perkuburan lama bagi bacaan tahlil dan doa.
Perarakan kemudian diteruskan ke Masjid Ribat Baalawi Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah untuk solat Maghrib berjemaah, diikuti bacaan maulid, persembahan qasidah, tausiah dan solat Isyak berjemaah.-PAHANGMEDIA

